Kontraktor pertahanan Aerotree Defence & Services Sdn Bhd (Aerotree) dilaporkan telah menyaman kerajaan, kerana mendakwa pihak berkuasa bertindak tidak adil apabila ia menamatkan perjanjian untuk memajak empat helikopter Sikorsky UH-60A Black Hawk tahun lalu.
Memetik dokumen tuntutan syarikat di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, The Edge melaporkan, syarikat itu sedang mendapatkan perintah mahkamah untuk mengarahkan kerajaan mematuhi perjanjian itu berdasarkan surat penerimaan bertarikh 17 April 2023.
Sekiranya perjanjian itu tidak dapat dijalankan, syarikat itu dilaporkan menuntut ganti rugi RM353 juta melibatkan RM17.5 juta sebagai ganti rugi khas, RM38.7 juta sebagai ganti rugi lanjut, dan AS$38.7 juta (kira-kira RM297.3 juta) sebagai pampasan tambahan.
Di samping itu, Aerotree menuntut ganti rugi am untuk kehilangan reputasi, serta ganti rugi teladan dan teruk yang diputuskan oleh mahkamah.
Ia juga mahu menyekat kerajaan daripada menggunakan jaminan bank RM1.87 juta, yang disediakan oleh Aerotree dan sejak itu telah dirampas oleh kerajaan.
Saman itu dilaporkan difailkan melalui Tetuan Hafarizam, Wan Aisha & Mubarak dengan menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, kementerian dan kerajaan persekutuan sebagai responden.
Black Hawk ialah helikopter tentera utiliti sederhana buatan AS yang mampu mengangkut tentera dan kargo.
Semasa Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (Lima) 2023, menteri pertahanan ketika itu Mohamad Hasan berkata cawangan penerbangan Tentera Darat Malaysia akan menerima empat helikopter Black Hawk yang disewa daripada Aerotree untuk latihan dan penugasan penerbangan operasi.
Pajakan itu, menurut penyata tuntutan, bernilai RM187.5 juta untuk lima tahun. Aerotree akan memiliki, mengendalikan dan menyelenggara helikopter tersebut.
Ini bagi menggantikan Sikorsky S-61A-4 Nuri yang lebih lama yang digantung perkhidmatan sejak 2020.
Bagaimanapun, perjanjian itu dibatalkan pada 31 Okt tahun lalu selepas Aerotree dilaporkan gagal menghantar helikopter itu selepas beberapa kali kelewatan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Aerotree dilaporkan mengaitkan kelewatan tersebut dengan pengubahsuaian teknikal, latihan juruterbang, dan gangguan daripada Perang Rusia-Ukraine menyebabkan syarikat terbabit memohon tiga tempoh pelanjutan.
Ia juga dilaporkan menuduh kerajaan gagal membantunya mendapatkan pinjaman daripada SME Bank, dan pertukaran menteri pertahanan melambatkan lagi dokumen yang diperlukan untuk kelulusan.
Apabila kelulusan pinjaman dibuat, syarikat itu masih belum menerima surat ikatan amanah daripada kementerian untuk memudahkan pembayaran pertama.
Menurut The Edge, syarikat itu berkata kerajaan mengetahui sebab di sebalik kelewatan itu, tetapi masih mengenakan syarat tidak adil yang menyukarkan untuk menyelesaikan perjanjian itu dan telah menyebabkan kegagalan syarikat terbabit.
Ia juga mendakwa penamatan itu tidak adil dan dilakukan tanpa proses yang sewajarnya, dan rayuannya tidak dijawab.