Beberapa orang kontraktor menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggesa siasatan dilakukan terhadap sebuah syarikat pengurusan sisa berhubung proses perolehan yang didakwa meragukan.
Kontraktor pengurusan sisa dari Kuala Lumpur, Putrajaya dan Pahang itu mendakwa terdapat keraguan serius terhadap integriti dan ketelusan syarikat berkenaan.
Jurucakap kumpulan itu Zamri Mohamad mendakwa prosedur tender terbaru tidak telus dalam proses penilaian sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan bekas kontraktor yang mendakwa diketepikan.
“Memorandum ini bagi meminta pembatalan proses perolehan kontraktor baharu kerana kami mendapati beberapa kekeliruan dari pihak syarikat.
“Kami telah bekerja dengan syarikat ini sejak sekian lama, malah ada yang hampir 10 tahun. Namun cara syarikat menggantikan kontraktor tidak diperincikan dengan jelas.
“Kami berharap apa yang kami serahkan hari ini akan dikaji dan dipertimbangkan sewajarnya oleh SPRM,” katanya di hadapan ibu pejabat SPRM di Putrajaya.
Tambahnya, kumpulan itu akan mengemukakan laporan rasmi kepada SPRM dalam masa terdekat.
Malaysiakini sedang cuba mendapatkan penjelasan syarikat itu.
Menurut memorandum yang dikongsi dengan Malaysiakini, mereka mendakwa mereka tidak menerima sebarang notis rasmi mengenai keputusan perolehan.
Malah, pengumuman berhubung keputusan itu juga didakwa tertangguh meskipun semua dokumen tender dihantar lebih setahun lalu.
Mereka juga mendakwa kriteria penilaian tender diubah seolah bagi menguntungkan pihak tertentu.
Kumpulan itu menggesa SPRM menjalankan siasatan secara menyeluruh dan terperinci sama ada wujud salah laku yang boleh menjejaskan ketelusan dan kesahihan keputusan tender.






