Malaysia Oversight

Konsert Jelajah Nostalgia Rock 90-an himpunkan 10 otai

By Utusan in August 10, 2025 – Reading time 4 minute
Konsert Jelajah Nostalgia Rock 90-an himpunkan 10 otai


Biarpun kalendar persembahan dan konsert dilihat padat sehingga hujung tahun ini, namun ia sama sekali tidak merencatkan idea penganjur untuk membuka ruang dan peluang kepada artis legenda tanah air dalam misi merancakkan industri hiburan yang dilihat semakin berkembang hari ini.

Idea menghimpunkan ‘otai-otai’ rock yang pernah menggegarkan industri muzik tempatan sewaktu era 90-an dahulu dilihat bertepatan, apatah lagi lagu-lagu hits mereka masih melekat di hati peminat, malah menjadi pilihan stesen-stesen radio tempatan sehingga kini.

Walaupun ada di antara mereka kini memilih bergerak solo, namun semuanya masih aktif menyanyi, malah persembahan mereka sentiasa mendapat sambutan peminat. Inilah kunci kekuatan yang membolehkan mereka mampu bertahan sehingga ke hari ini walaupun kurang mendapat sebarang publisiti.

Pemilihan 10 legenda rock tanah air menerusi Konsert Jelajah Nostalgia Rock 90’an, yang bakal berlangsung di Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 27 September 2025 ini, pastinya mencipta sejarah tersendiri di samping menggamit memori peminat muzik rock tempatan.

Konsert anjuran 211 Event Empire ini bakal menampilkan sepuluh ikon rock era 90-an yang masih segar bertenaga dan memiliki pengikut setia mereka tersendiri. Antara yang bakal menggegarkan pentas termasuklah Blank (Gamma), Aan (Ways), Burn (Meditasi), Renggo (Arrow), Isa (Gravity), Azan (Scan), Shafie (Rio), Afee (Utopia), Wom (UG14) dan Aju (Success).

Tidak dinafikan artis yang dipilih untuk menjayakan konsert ini juga mempunyai karisma dan senarai lagu hits masing-masing, contohnya Blank (Gamma) yang cukup popular dengan lagu Kembang Terhalang dan Bahang Asmara, Aan (Ways) Warkah Untuk Kekasih dan Seiras, Burn (Meditasi) Biar Pedih Kasih Memanjang dan Bidadari, Renggo (Arrow) Aku Tak Marah dan Niat Di Hati Tak Nak Berpisah.

Selain itu Isa (Gravity) popular dengan lagu Sinambungan Cinta dan Kau Salju Cintaku, Azan (Scan) Kau Terpaksa Aku Dipaksa dan Di Sana Mawar Di Sini Penawar, Shafie (Rio) Layu Di Hujung Mekar dan Semusim Rindu, Afee (Utopia) Mithali Cintaku dan Maya Percintaan, Wom (UG14) Bunga Larangan dan Sempadan Sempurna manakala Aju (Success) hits dengan lagu Ku Basuh Luka Dengan Air Mata dan Kejam.

Keberadaan Isma Halil Hamzah pula tidak perlu dipersoalkan. Bekas penyampai radio yang cukup terkenal sewaktu era 90-an ini cukup sinonim dengan muzik rock, pelbagai segmen yang pernah dihasilkan dahulu dan kini masih berlatarkan genre ini, malah wataknya sering didambakan sebagai pembuka acara untuk setiap persembahan dan konsert rock ketika ini.

Mengangkat tema Rockestra, iaitu gabungan muzik rock dan orkestra, bukan sahaja dilihat unik malah akan mencipta satu demensi baharu dalam kerjaya seni mereka, sekali gus hadir dengan pendekatan muzik yang segar dan penuh nilai artistik.

Menurut penganjur, Intan Madura, konsert ini bukan sahaja mencipta fenomena baharu dalam industri hiburan tempatan tetapi fokus utama adalah usaha untuk mengangkat kembali martabat mereka yang suatu ketika dahulu pernah berada di puncak.

“Jika sebelum ini peminat hanya mendengar lagu mereka di corong radio, tetapi di konsert ini pastinya peminat dapat bersua muka dan megenali mereka dengan lebih dekat lagi. Bermakna ia bukan sekadar persembahan biasa, tetapi lebih kepada ikatan silaturrahim.

“Insya-Allah Konsert Jelajah Nostalgia Rock 90’an akan menjelajah ke lokasi seterusnya seperti di Johor, Sabah, Sarawak dan besar kemungkinan juga ke Aceh, Indonesia,” ujarnya.

Katanya Plaza Alam Sentral, Shah Alam dipilih sebagai lokasi pertama kerana ia merupakan permulaan terbaik di waktu musim konsert yang sedang rancak ketika ini. Walaupun hanya mampu memuatkan 1,200 kapasiti penonton tetapi peminat yang tidak berpeluang mendapatkan tiket masih boleh menonton secara strim dengan harga mampu milik.

Penyanyi Kumpulan Utopia, Afee, turut menegaskan keyakinannya terhadap projek ini malah menyifatkan belum ada lagi penganjur yang memberi peluang untuk mereka berada di pentas berskala besar seperti ini. Selain itu konsert ini juga boleh menjadi medan untuk generasi baharu yang kini sudah kembali mengenali lagu-lagu 90-an menerusi platform media sosial seperti TikTok dan sebagainya.

Selaku hos konsert, Isma Halil Hamzah turut menzahirkan harapan tinggi agar peminat-peminat dapat hadir dan menyokong konsert ini memandangkan lagu-lagu mereka inilah yang pernah mewarnai zaman remaja kita satu ketika dahulu, malah meninggalkan banyak nostalgia dan kenangan manis yang tidak mungkin kita lupakan.

Penyanyi Kumpulan Arrow, Renggo menyifatkan konsert ini sebagai ruang mengembalikan nostalgia dan menonjolkan semangat ukhwah di artis dan peminat. Ujarnya setiap daripada mereka yang melakukan persembahan punyai peminat genre muzik tersendiri.

Dengan kombinasi nostalgia, penghibur legenda dan semangat baru, Konsert Jelajah Nostalgia Rock 90’an dijangka menjadi antara acara paling dinanti-nantikan tahun ini pastinya bukan sahaja daripada peminat, malah seluruh generasi baharu pencinta muzik tanah air.

Pembelian tiket boleh layari laman web rasmi www.211eventempire.com 





Source link