WAWANCARA | Naib presiden Bersatu Ronald Kiandee menolak usaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mempromosikan konsep politik “berasaskan Sabah”, dengan menyifatkannya sebagai gimik memandangkan gabungan itu masih bergantung kepada persekutuan dalam pembahagian kerusi.
Kiandee yang juga Pengerusi Bersatu Sabah berkata GRS sejak dahulu mempromosikan idea bahawa parti tempatan mampu menentukan masa depan politiknya sendiri.
“Tapi lihatlah mereka. Mereka tetap perlu datang ke Kuala Lumpur untuk berjumpa Perdana Menteri bagi berunding soal kerusi dan berbincang konsep gabungan yang mereka mahu bentuk.
“Ini bermakna walaupun (Pengerusi GRS) Hajiji (Noor) mendukung parti berasaskan Sabah, apabila tiba kepada perundingan kerusi dan konsep gabungan, mereka tetap perlu pergi ke KL,” katanya kepada Malaysiakini di Parlimen semalam.
“Ini menunjukkan konsep yang GRS cuba jual hanyalah gimik, bersifat politik semata-mata, dan sesuatu yang mereka sendiri tidak mampu tentukan.
“Itulah realitinya. Mereka tetap perlu berunding soal kerusi. Tak mengapa, itu urusan mereka, tiada kaitan dengan PN,” kata anggota Parlimen Beluran selama enam penggal itu.
Mesyuarat di Seri Perdana
Pada 18 Ogos lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengadakan mesyuarat bersama pimpinan PH, BN dan GRS di kediamannya di Seri Perdana, yang kemudian disifatkannya sebagai demonstrasi kematangan politik untuk mengukuhkan kerjasama kerajaan persekutuan dan negeri.
Antara yang hadir ialah Hajiji selaku Ketua Menteri Sabah dan pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi. Bagaimanapun Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin tidak hadir, yang sebelumnya menegaskan BN akan berdepan GRS dalam PRN akan datang walaupun rundingan masih berjalan.
Anwar kemudian menggambarkan mesyuarat itu berlangsung dalam suasana “harmoni dan penuh semangat kebersamaan”.

Namun, Bung semalam mempersoalkan pendirian GRS dan memuat naik gambar pertemuan itu dan diiringi dengan kata-kata yang menyindir:
“Apakah parti lokal sudah tenggelam dalam gelombang ‘Malaya’? Di mana suara keras yang sering kita dengar – mana-mana parti yang memihak parti Malaya adalah pengkhianat? Apakah GRS pengkhianat besar kepada rakyat Sabah?”
Politik ‘cinta tiga segi’
Mengulas hubungan antara PH, BN dan GRS yang dilihat dingin, Kiandee berkata ia terpulang kepada mereka untuk menyelesaikannya.
“Soal ‘cinta tiga segi’, itu urusan mereka. Kami hanya memerhati dari luar dan rakyat Sabah juga memerhati konsep yang mereka mahu cipta.
“Seperti PRN lalu, saya tidak fikir ia akan berjalan lancar. Gabungan dan persefahaman tulen tidak akan terjalin antara mereka.
“Kita boleh jangka akan berlaku pertembungan di banyak kerusi. Untuk bentuk kerajaan (negeri), satu pihak perlukan 37 kerusi. Jadi menarik untuk dilihat siapa yang mampu capainya,” katanya lagi.

GRS kini menguasai 42 daripada 73 kerusi di DUN Sabah. Komponennya termasuk Gagasan Rakyat Sabah pimpinan Hajiji, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Cinta Sabah (PCS), Parti Harapan Rakyat Sabah (PHRS), Parti Liberal Demokratik (LDP) dan Usno.
Bersatu Sabah merupakan antara pengasas GRS pada 2022 tetapi keluar susulan penjajaran semula politik di peringkat negeri dan persekutuan.
Pakatan selepas PRN
Ditanya mengenai cadangan Bung yang Umno Sabah mungkin bertanding menentang GRS tetapi tetap mempertimbangkan kerjasama selepas pilihan raya, Kiandee berkata ia bukan perkara baru.
“Itu konsep yang sudah ada di Sabah sejak PRN yang lalu.
“Tidak wujud gabungan tulen. Malah dalam gabungan pun boleh berlaku pertembungan.

“Saya tidak fikir pakatan sebenar antara mereka akan berlaku. Menarik untuk dilihat – saya tiada kaitan dengan mereka – tetapi menarik untuk lihat bagaimana kerjasama mereka akan berjalan,” katanya.
Kiandee sekali lagi menegaskan PN akan bertanding PRN Sabah secara bersendirian, sebagai gabungan empat parti – Bersatu, PAS, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP).
“Bagi PN, kami akan bergerak sendiri, seperti pilihan raya lalu. Pilihan raya lalu, kami ada memorandum persefahaman dengan PBS. Kali ini, kami akan bergerak bersendirian,” katanya lagi.