KUALA LUMPUR: Lawatan Persatuan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Malaysia (MiSHA) ke Ibu Pejabat Fluor Daniel Inc. Asia di Manila, Filipina, baru-baru ini memberi peluang kepada persatuan itu menilai secara dekat pelbagai inisiatif berimpak tinggi yang menjadikan Fluor sebagai salah sebuah syarikat multinasional paling progresif dalam bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP).
Lawatan kerja selama empat hari itu memenuhi undangan khas Fluor untuk berkongsi pembentangan berhubung amalan terbaik KKP yang dilaksanakan di organisasi tersebut.
Dalam pertemuan tersebut, MiSHA diwakili Timbalan Presidennya, Ts. Abd. Mutalib Abd. Gapar, Bendahari, Saiful Tarmaji dan Ahli Jawatan Kuasa MiSHA, Asraf Ibrahim. Rombongan berkenaan disambut oleh Pengurus Besar Fluor Daniel Inc., J.J Hajovsky; Pengurus KKP, Jo Anne Pilapil; Pengurus Projek, Carlo Antonio Tiangsing serta Pengurus Kejuruteraannya, Rowena Joan Quirimit.
Abd. Mutalib berkata, antara program yang diketengahkan syarikat berkenaan adalah Inisiatif Bersuara iaitu perkhidmatan telefon khusus bagi pekerja mendapatkan konsultasi isu kesihatan mental, dan Kupon Baucar Terima Kasih yang merupakan baucar penghargaan daripada pengurusan kepada pekerja yang mematuhi peraturan KKP di tempat kerja.
Katanya, program lain ialah Kad Program Penghapusan Bahaya (Kad HELP), iaitu kad khas untuk pekerja melaporkan sebarang bahaya yang diperhatikan terus kepada pihak pengurusan, program kesihatan mental yang memberi fokus kepada pencegahan bunuh diri dan Bengkel Pembekal Tahunan bersama pembekal bagi mendapatkan input berharga dalam meningkatkan proses perolehan dari aspek keselamatan.
“Syarikat itu turut melaksanakan inisiatif Latihan Universiti Fluor melibatkan modul latihan dalam talian dan pembelajaran kendiri termasuk kursus mandatori bagi semua pekerja di samping program Everbridge, iaitu platform komunikasi krisis bagi memastikan tindakan pantas dan efektif ketika kecemasan.
“Selain itu, Fluor turut melaksanakan Annual HSE Perception Survey untuk mendapatkan maklum balas pekerja mengenai keberkesanan budaya KKP di tempat kerja.,” katanya.
Menurut Abd. Mutalib, hasil daripada komitmen berkenaan, Fluor mencatatkan pencapaian membanggakan iaitu 32.7 juta jam kerja selamat tanpa sebarang kemalangan hilang waktu (LTI) sejak 2017.
Sementara itu, Hajovssky berkata, budaya keselamatan telah lama berakar di Fluor dan ia diterjemah dalam setiap tindakan harian.
“Setiap mesyuarat di Fluor mesti dimulakan dengan momen keselamatan sebelum agenda lain. Keselamatan bukan hanya slogan, tetapi kepemimpinan melalui teladan dan mengambil pemilikan penuh terhadap keselamatan,” katanya.
Sementara itu, kunjungan tersebut turut membincangkan penyertaan Fluor untuk anugerah berprestij, Anugerah Asia Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) MiSHA 2025 sebagai wakil rasmi dari Filipina.
Menurut Abd. Mutalib, berdasarkan kriteria pertandingan, hanya lima syarikat dari rantau Asia akan melalui proses audit dan dua syarikat terbaik dipilih untuk mewakili negara masing-masing bagi menerima pengiktirafan berprestij tersebut,
Beliau yang juga Pengerusi majlis anugerah berkenaan berkata, penyertaan tahun ini sangat menggalakkan dengan sambutan dari negara-negara Asia seperti Filipina, India, Myanmar, Singapura, Vietnam, Indonesia dan Brunei Darussalam. – UTUSAN