Jika anda sedang mencari sebuah komputer riba kelas produktiviti yang hadir dengan rekaan padat, spesifikasi berkuasa dan juga hadir dengan kemampuan tahan lasak, ASUS Malaysia hari ini telah memperkenalkan komputer riba tahan lasak terbaru mereka, iaitu ASUS ExpertBook PM3.

Komputer riba ini hadir dengan paparan IPS bersaiz 14 inci dengan resolusi 1920×1200 dan nilai kecerahan sehingga 300 nit. Ia dikuasakan oleh cip pemprosesan AMD Ryzen AI 7 350 bersama memori LPDDR5 sebanyak 16GB dan juga storan SSD sebesar 1TB terbina.
Salah satu daripada keunikan komputer riba ini hadir melalui kemampuan pengguna untuk menaiktaraf komponen memori dan storan terbina. Secara ringkasnya, apabila anda membuka rangka bahagian bawah komputer riba ini, anda boleh menambahkan jumlah memori dan storan didalam SSD ini secara sendiri melalui slot-slot pengembangan tambahan didalamnya.

Untuk storan, ExpertBook PM3 hadir dengan dua slot storan SSD, satu untuk SSD bersaiz M.2 2280 dan satu lagi slot storan M.2 2230. ia juga tampil dengan dua slot memori LPDDR5, bermakna pengguna boleh menambahkan jumlah storan ke 64GB sekiranya ia diperlukan.

Dari segi sokongan palam pula, ExpertBook PM3 dilengkapi dengan dua palam USB 3.2 Type-C, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1, satu palam audio 3.5mm dan satu palam kabel internet RJ-45.

Dari segi ketahanan, komputer riba ini telah melepasi ujian piawaian ketahanan MIL-STD 810H yang bermakna bahawa komputer riba ini boleh digunakan dalam pelbagai jenis suhu, tidak kira sejuk atau panas, dan juga hadir dengan kelasakan yang menjanjikan bahawa ia tidak mudah rosak.

Sebagai contoh, engsel komputer riba ExpertBook PM3 hadir dengan komponen penguat yang diperbuat daripada besi. Ini bukan sahaja memastikan bahawa engsel tersebut boleh beroperasi dengan lebih lama, tetapi juga memastikan bahawa ia tidak rosak sekiranya paparan komputer riba ditutup dengan halangan diantara papan kekunci dan paparan.

Dalam pada itu, palam-palam USB Type-C dan Type-A juga telah diperkuatkan, dan boleh menampung berat sehingga 9kg, dan ini mengurangkan kebarangkalian palam atau komputer riba anda rosak apabila anda mengangkat komputer riba ini dan terlupa untuk mencabut kabel terlebih dahulu.
Bahagian papan kekunci ini juga kalis air, dan boleh menahan tumpahan air sebanyak 500-800ml di atas papan kekunci sebelum ia perlu dikeringkan.

Dari segi perisian pula, ASUS ExpertBook PM3 juga dimuatkan dengan perisian ASUS ExpertMeet AI, iaitu sebuah perisian yang memudahkan proses telesidang anda. Dengan perisian ini, proses pembatalan bunyi hingar boleh diautomasikan, manakala pengguna juga boleh menambah sarikata sekiranya pembentangan telesidang dilakukan dalam bahasa yang tidak difahami.

Pengguna juga boleh menambah tera air (watermark) pada slaid-slaid pembentangan dan juga merumuskan kandungan telesidang dalam bentuk teks dengan cepat dan mudah.

ASUS ExpertBook PM3 juga dimuatkan dengan bateri bersaiz 70Whr, yang bukan sahaja hadir dengan jangka hayat bateri yang panjang, tetapi juga pengecasan pantas dari 0-60 peratus dalam masa yang singkat, dan juga kebolehan untuk mengganti bateri secara fizikal dengan mudah tanpa memerlukan pemutar skru.


ASUS ExpertBook PM3 kini mula ditawarkan di pasaran Malaysia dengan spesifikasi komponen berikut:
- ASUS ExpertBook PM3 (14″, AMD Ryzen AI 5 330, 16GB, 512GB) – RM5199
- ASUS ExpertBook PM3 (14″, AMD Ryzen AI 7 350, 16GB, 512GB) – RM5799
- ASUS ExpertBook PM3 (14″, AMD Ryzen AI 7 350, 32GB, 512GB) – RM6399






