Malaysia Oversight

Komitmen kerajaan pastikan kedaulatan negara kekal terpelihara

By Utusan in September 15, 2025 – Reading time 3 minute
Komitmen kerajaan pastikan kedaulatan negara kekal terpelihara


KUALA LUMPUR: Soal keselamatan, pertahanan dan kedaulatan negara kini menjadi tumpuan seiring peningkatan teknologi yang boleh dilihat dalam konflik di peringkat global.

Justeru, Kementerian Pertahanan (MINDEF) menggariskan hala tuju untuk memperkukuh dasar dan keupayaan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Kajian Separuh Penggal (KSP) Kertas Putih Pertahanan (KPP) bagi tempoh 2026 hingga 2030 di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) baru-baru ini.

Malah, kajian ini dilaksanakan bagi menilai pencapaian KPP yang diluluskan di Parlimen pada 2019.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebanyak lima teras hala tuju strategik baharu digariskan dalam KSP KPP untuk memperkukuhkan pertahanan negara ke arah lebih berdaya tahan dan mampan.

“Pertama, kita mahu meneruskan usaha reformasi dan transformasi Angkatan Masa Hadapan termasuk membangunkan sebuah Joint Network-Centric Integrated Multi-Domain Force, iaitu angkatan yang berupaya melaksanakan pelbagai fungsi penting bermula diplomasi, pengesanan,penghindaran, penafian hinggalah kepada penumpasan ancaman keselamatan semua lapisan operasi menjelang 2030.

“Pembangunan keupayaan ini merangkumi domain angkasa dan siber di samping penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), sistem tanpa pemandu dan pengesan pintar yang dapat memperkukuh kawalan di sempadan darat mahupun maritim,” katanya pada Majlis Pelancaran KSP KPP di Hotel Royal Chulan di sini baru-baru ini.

Menurutnya, menerusi KSP KPP juga, aspek pertahanan bersifat komprehensif dapat diwujudkan dengan melibatkan warga kerja pertahanan dan seluruh rakyat dalam pengukuhan pertahanan negara secara inklusif, selaras dengan pendekatan Whole-of-Government & Whole-of-Society (WOGOS) di bawah konsep Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).

“MINDEF dan ATM akan terus memperkasa tenaga manusia melalui eksesais berterusan dan berimpak tinggi, yang merangkumi eksesais tunggal, bersama, bersepadu serta eksesais dua hala dan eksesais pelbagai hala,” ujarnya.

Selain itu katanya, Kementerian Pertahanan turut menyasarkan penyertaan wanita dalam ATM dipertingkat kepada 15 peratus, selaras dengan agenda Women, Peace and Security (WPS) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Malah katanya, pasukan simpanan ATM juga akan terus ditambah dengan menyasarkan nisbah penyertaan 1:1 antara anggota tetap dan simpanan ATM.

“Atas sebab itulah, program seperti Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 dan program Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) akan diberi perhatian dan ditambah baik.

“MINDEF juga komited memperhebat program berasaskan kerjasama antara warga tentera dan masyarakat awam seperti Program Civil-Military Cooperation (CIMIC) dan Program Jiwa Murni di seluruh negara,” ujarnya.

Mohamed Khaled juga berkata, MINDEF turut memberi penekanan perkongsian berwibawa dalam hubungan antarabangsa menerusi KSP KPP untuk mendepani ancaman dan cabaran keselamatan yang dinamik.

“Diplomasi pertahanan haruslah diperkasa sebagai tunjang utama pertahanan bagi membina kepercayaan, mewujudkan saluran komunikasi dan mengurangkan risiko konfrontasi.“MINDEF berpegang teguh kepada dasar diplomasi Malaysia, iaitu kita berkawan dengan semua, bermusuh dengan tiada. Dalam keadaan sekarang, kita memerlukan pendekatan untuk mengimbangi pengaruh kuasa-kuasa besar di rantau ini,” ujarnya.

Katanya, Malaysia juga akan terus mengukuhkan hubungan dua hala terutama dengan negara Barat yang kelihatan semakin berminat dengan rantau Indo-Pasifik ini atas faktor kepentingan strategik.

Dalam pada itu, beliau berkata, MINDEF juga akan memperkasa Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) sebagai peneraju utama penyelidikan dan pembangunan (R&D) sains dan teknologi pertahanan negara.

“Peranan STRIDE akan disokong dengan penubuhan Majlis Penasihat Sains dan Teknologi Pertahanan (MPSTP) yang menentukan hala tuju sains dan teknologi pertahanan di peringkat Kebangsaan,” katanya.

Pada masa sama katanya, MINDEF turut menyusun Pelan Strategik MINDEF (PSM) 2026–2030 sebagai instrumen pemantauan yang sistematik, agar pelaksanaan KSP KPP ini berjalan seperti dirancang di bawah kerangka RMK13. – UTUSAN





Source link