Pada Sabtu pagi, 21 Jun 2025–satu minggu sesudah Israel menyerang Iran–Donald Trump, presiden yang juga ketua komander angkatan tentera Amerika, mengarahkan tujuh pesawat B-2 mengebom fasiliti nuklear Iran.
Fasiliti ini terletak di Fordo, Natanz, dan Isfahan. Fasiliti ini tersorok bawah tanah dalam kawasan gunung-ganang. Justeru, hanya pesawat B-2 ini berupaya membawa bom peledak Bunker Buster seberat 30,000 paun.
Jeneral Dan Caine, ketua operasi, berkata: “Operasi Midnight Hammer melibatkan 125 pesawat tentera, termasuk tujuh pengebom spesifik B-2.”
Semasa taklimat di Pentagon, Caine berkata pesawat pengebom berlepas dari Amerika dengan penerbangan selama 18 jam. Beberapa pesawat diarah menuju ke Guam sebagai pukau mengalih pandangan.
Esoknya, Trump melalui media sosial mengumumkan bahawa semua pesawat selamat pulang. Tugas dijalankan dengan baik. Mengikut Trump, “Tuhan bersama menyelamatkan Amerika.”
“Serangan itu adalah kejayaan ketenteraan yang menakjubkan,” kata Trump dalam ucapan di televisyen.
“Kemudahan fasiliti nuklear utama Iran dilenyapkan sepenuhnya.”
Kenyataan Trump ini disambut oleh Benjamin Netanyahu. Israel berterima kasih kepada Amerika dan Presiden Trump. Mengikut Netanyahu, “Tuhan juga bersama menyelamatkan Israel dan Amerika.”
Jelas, projek memusnahkan fasiliti nuklear ini telah lama dirancang. Projek ini diimpikan oleh Netanyahu sebelum dia menjadi perdana menteri lagi, berasaskan dasar yang dirangka dalam strategi A Clean Break.
A Clean Break: A New Strategy for Securing the Realm ialah dokumen dasar yang disediakan pada tahun 1996 oleh kumpulan kajian yang diketuai oleh Richard Perle untuk Netanyahu.
Dokumen ini menjelaskan pendekatan baru untuk menyelesaikan masalah keselamatan Israel di Timur Tengah. Ini termasuklah memusnahkan Iran dan fasiliti makmal nuklear Iran.
Pada 22 September 2003, Al Jazeera melaporkan kenyataan bekas Jeneral Wesley Clark:
“…Pentagon sesudah 9/11 merancang untuk menyerang tujuh negara Islam – Iraq, Syria, Libya, Lebanon, Somalia, Sudan, dan Iran.”
Satu demi satu negara ini diserang dan dimandulkan. Semua mengikut agenda Clean Break. Paling akhir ialah Iran. Justeru, silap jika kita berpendapat serangan terhadap Iran ini kerana negara itu dikatakan tidak mematuhi perjanjian nuklear.
Projek serang 7 negara
Projek menyerang tujuh negara ini adalah projek untuk memastikan Israel selamat. Untuk memastikan tidak ada negara Arab-Islam yang boleh bersaing atau melawan Israel.
Dokumen Clean Break ini juga diperkukuhkan dengan satu lagi dasar dipanggil: The Project for the New American Century (PNAC). Dasar projek ini ialah untuk memastikan keunggulan hegemoni Amerika kepada dunia.
Ia juga memastikan tidak ada kuasa-kuasa lain yang boleh menandingi kuasa politik, ekonomi, dan ketenteraan Amerika.
Untuk memahami kenapa Amerika gila babi terus menerus membantu Israel, kita wajib menyedari dua perkara.
Pertama: Wajib dinyatakan bahawa negara yang dipanggil Israel adalah Pangkalan Tentera Amerika. Tanah Israel ini adalah tanah jajahan. Israel wujud untuk menjadi polis dan pengawal di Timur Tengah untuk kuasa imperialis Anglo-Amerika.
Kedua: Hampir semua ahli politik Amerika, dari Kongres ke Dewan Senat dan juga presiden–Republikan atau Demokrat– mendapat dana Zionis-Yahudi. Justeru, tidak salah jika ada penganalisis politik pada tahun 2025 mentafsir bahawa politik Amerika dibeli oleh kaum Zionis.
Menyerang dan memusnahkan Iran ini adalah niat dan cita-cita Netanyahu dan Israel. Bertahun-tahun Netanyahu merancang untuk menjerut dan memancing Amerika menyerang Iran. Kali ini Netanyahu berjaya. Presiden Trump kini dalam saku Netanyahu.
Serangan Amerika ini dibalas oleh Iran. Sebanyak enam peluru berpandu Iran meledak ke pangkalan askar Amerika di Qatar. Juga dilaporkan pejuang Islam Iraq mengebom pangkalan Amerika di Iraq.
Jelas, serangan Iran terhadap Amerika ini hanya untuk memberi petanda bahawa Iran tidak mahu berperang dengan Amerika. Malah, ada berita melaporkan sebelum peluru berpandu meledak, Iran telah memberitahu pihak berwajib di Qatar. Memberi amaran agar tidak ada nyawa melayang.
Tiba-tiba, tanpa diminta, tanpa dirayu, Trump mengumumkan “perang tamat”. Semua selesai. Iran dan Israel bersetuju untuk tidak serang-menyerang.
Dunia kali ini tidak lagi terperanjat kerana dunia telah faham akan bohong, kelentong, dan tipu helah Trump. Dunia hanya memerhati sambil tersenyum.
Untuk menambah komedi kepada lawak ini, sebelum Trump membuat pengumuman penting tentang ‘tamat perang’, dia menjaja pemukul bola golf yang akan menjadi bahan sejarah kerana ada tandatangannya.
Kenyataan Trump ini disambut oleh Israel dengan serangan ke atas Iran. Iran pula membalas dengan serangan yang hebat sekali. Ratusan peluru berpandu Iran menghentam masuk ke dalam Israel.
YB Israel lari
Dilaporkan juga beberapa YB Israel cuba melarikan diri dengan menaiki pesawat kecil menuju ke Cyprus.
Warga Israel yang kaya-raya awal-awal lagi telah lari. Warga Israel yang memiliki dua kerakyatan berpindah lama dulu. Yang tercicir kini berbondong-bondong lari meninggalkan Israel mengikut jalan darat ke Syria dan Jordan.
Lapangan terbang utama Israel, Ben Gurion ditutup kerana telah beberapa kali menjadi mangsa peluru berpandu Iran.
Ketika tulisan ini digarap, kelihatan serang-menyerang telah berhenti. Dilaporkan Israel dan Iran telah membuat gencatan senjata dan memberhentikan perang 12 hari ini. Dunia, pasaran saham, dan pasaran minyak sedang memerhati dengan rapi.
Selat Hormuz, di mana 25 peratus bahan bakar petrol melintas di selat ini, tidak ditutup.
Tiba-tiba, muncul berita di CNN. Muncul berita di akhbar The New York Times mengatakan bahawa pengeboman yang didakwa oleh Trump itu tidak benar. Malah, ada media Amerika yang mengatakan bom-bom Bunker Buster seberat 30,000 paun sebiji itu hanya berjaya mengebom bangunan dan bilik-bilik kosong.
Gambar-gambar kini muncul dalam media di Amerika yang menunjukkan bahawa semua peralatan, semua uranium milik Iran yang tersimpan dalam tiga fasiliti ini dipindahkan lebih awal. Justeru, Amerika menghabiskan AS$100 juta dolar berbelanja mengebom bangunan kosong.
Berita “mengebom bangunan kosong” ini berpunca dari ‘orang dalam Pentagon’. Ada pegawai Pentagon yang membocorkan laporan intel yang membuktikan bahawa uranium milik Iran ini tidak musnah. Masih selamat.
Malah, The New York Times melaporkan: “Kerosakan ini agak kecil. Ia hanya akan melewatkan beberapa bulan sahaja sebelum Iran akan kembali membina fasiliti nuklear.”
Bila berita ini meledak di Amerika, Presiden Trump menyumpah dan menuduh stesen CNN sebagai penyebar fake news – berita palsu. Menurut Trump, media-media ini tidak hormat kepada askar Amerika yang terlibat dalam operasi ini.
Kini, makin jelas gencatan senjata kali ini diminta dan dirayu oleh Netanyahu. Di Gaza, Netanyahu berkeras tidak mahu melakukan gencatan senjata. Tetapi kali ini telah bertemu buku dengan ruas. Iran bukan negara kecil yang boleh dibuli. Iran telah lama membuat persediaan.
Peluru berpandu Iran masih banyak tersimpan. Peluru ini semuanya buatan Iran dari pelbagai jenis. Malah, peluru berpandu Iran yang hipersonik seperti Fatah dan Sijjil – lapan kali lebih cepat dari bunyi – bukan saja dapat menembus benteng Iron Dome, malah meledak musnah apa sahaja.
Tel Aviv jadi Gaza
Dilaporkan ibu pejabat Mossad meledak. Pelabuhan Haifa musnah. Lapangan terbang Ben Gurion kini terbengkalai. Hakikatnya, Tel Aviv menjadi Gaza. Apa yang dilakukan oleh Israel kepada Gaza kini dirasakan oleh Israel sendiri.
Israel sedaya upaya cuba menyorokkan wajah, imej, dan gambar Tel Aviv dan kota-kota lain yang hancur. Media luar negara dilarang masuk melapor. Malah, warga Israel sendiri yang mengambil gambar bangunan runtuh atau terbakar untuk media sosial akan ditangkap kerana dianggap khianat terhadap negara.
The New York Times melaporkan bahawa peluru dan senjata Israel makin kurang. Malah, dilaporkan makin ramai anak-anak muda yang Wajib Tentera melarikan diri. Banyak juga askar tidak datang melapor diri.
Bayangkan, Hamas yang hanya memiliki 10,000 tentera lengkap dan 30,000 penyokong masih tidak berjaya dikalahkan oleh Israel. Selama hampir tiga tahun Israel memerangi Hamas, tetapi Israel masih gagal untuk menghapuskannya.
Mengikut bancian terakhir dari Wikipedia, Iran mempunyai kira-kira 610,000 anggota tentera aktif dan 350,000 anggota simpanan. Semua berjumlah kira-kira 960,000 anggota. Sahih, Iran tidak terkalahkan oleh Israel.
Renungkan: Iran dengan penduduk 90 juta. Israel hanya ada sembilan juta. Justeru, jika perang 12 Hari ini tidak ditamatkan oleh Netanyahu, maka Israel akan lenyap sebagai sebuah negara. Amin.
HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.