KOLUM | Dalam sejarah peradaban manusia, ada satu watak yang sentiasa muncul setiap kali mereka yang berkuasa mahu menutup kesalahan: kambing hitam.
Istilah itu berasal daripada ritual purba ketika masyarakat Yahudi menyambut Yom Kippur. Seekor kambing dilepaskan ke gurun setelah “ditimpakan” dosa seluruh masyarakat ke atasnya supaya mereka yang bersalah terlepas daripada hukuman.
Ribuan tahun berlalu, namun konsep itu kekal releven. Dalam setiap skandal besar, pasti ada pihak yang dihukum dengan mudah, dan pasti ada pula pihak yang hampir dengan kuasa tetapi terhindar daripada sebarang tindakan.
Skandal pemain warisan Malaysia ialah episod moden yang memantulkan kembali ritual purba itu dengan sangat jelas dan nyata.
Persekutuan Bola Sepak Antarabansa (Fifa) bukan sekadar menggantung tujuh pemain selama 12 bulan atau mendenda FAM sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta). Dalam penghakiman penuhnya, Fifa menyatakan dengan jelas bahawa pemalsuan dokumen merupakan jenayah menurut undang-undang negara yang terlibat.
Maka dengan itu, kita tanpa teragak-agak perlu berani meletakkan skandal ini sebaris dengan satu lagi episod hitam dalam sejarah Malaysia – skandal 1MDB.
Dalam kes yang menggemparkan dunia itu, lebih AS$4.5 bilion (RM21 bilion) diselewengkan melalui syarikat palsu, transaksi gelap dan pembohongan terancang. Selepas dunia antarabangsa bertindak, lebih AS$1.4 bilion (RM6 bilion) dipulangkan kepada Malaysia serta tokoh-tokoh utama seperti Tim Leissner dan Roger Ng dihukum.
Cepat dapat pasport
Jika 1MDB menjadi pengajaran mahal mengenai bahaya kuasa tanpa kawalan, skandal pemain warisan kini muncul sebagai bab berikutnya dalam naskhah kegagalan integriti negara.
Penghakiman Fifa menunjukkan bagaimana dokumen kelahiran datuk dan nenek tujuh pemain terbabit bercanggah dengan rekod negara asal. Dalam beberapa kes, kerajaan negara yang terlibat sendiri mengesahkan bahawa dokumen tersebut dipalsukan – sama ada melalui kandungan yang tidak tepat ataupun dokumen yang direka sepenuhnya.
Lebih mengejutkan, semua dokumen ini berjaya melepasi saringan FAM dan masuk pula ke dalam sistem rasmi Malaysia tanpa semakan rentas agensi.

Dua individu – Nicolás Puppo dan Frederico Moraes – direkodkan dalam fail Fifa sebagai ejen yang menyerahkan dokumen bercanggah tersebut kepada FAM. Mereka bukan sekadar orang tengah; mereka adalah titik mula rantaian dokumen palsu yang akhirnya menelanjangkan Malaysia di hadapan dunia.
Namun sehingga hari ini, kedua-dua mereka seakan-akan ghaib daripada radar pihak berkuasa Malaysia.
Lebih membimbangkan ialah kepantasan luar biasa proses kewarganegaraan dan pasport pemain-pemain ini.
Dalam rekod Fifa, terdapat pemain yang menandatangani borang pada 3 Jun, lalu menerima pasport Malaysia pada hari yang sama. Ada pula yang memohon pada 17 Mac sebelum menerima pasport keesokan harinya.
Dalam sebuah negara yang proses kewarganegaraan lazimnya mengambil masa beberapa hari atau beberapa bulan – malah ada yang bertahun-tahun lamanya – kelulusan secepat itu hanya mungkin berlaku apabila laluan tertentu dibuka oleh ‘wahyu’ dalam sistem kerajaan.
Watak yang berubah wajah
Dalam konteks Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) ialah penjaga pintu utama identiti seseorang warganegara. Setiap dokumen luar negara mesti melalui semakan rentas agensi, termasuk pengesahan dengan negara asal.
Namun FAM dan JPN mengakui bahawa semakan itu tidak dibuat dan akhirnya Fifa membentangkan bukti terdapat percanggahan ketara antara dokumen asal dan dokumen terjemahan.
Prosedur ini jelas dilangkau – lalu timbullah persoalan: siapa yang mengarahkan?
Lebih pelik, ini bukan kali pertama Malaysia berdepan isu dokumen palsu yang melibatkan kuasa besar dan struktur rasmi. Dalam 1MDB, dokumen kewangan dan kontrak palsu direka bagi menutup penipuan berskala global.
Skandal itu juga menampilkan watak-watak yang berdiri di hadapan kamera dengan penuh bergaya, meyakinkan rakyat bahawa “tiada wang hilang”, “aset melebihi liabiliti”, “semua terkawal” – tetapi akhirnya menjarakkan diri apabila siasatan semakin hampir.

Wajah-wajah itu suatu ketika dahulu diangkat sebagai penyelamat 1MDB. Namun ketika memberi keterangan kepada mahkamah semasa perbicaraan, semuanya bertukar menjadi “bukan pada masa saya”, “saya tidak tahu”, “saya hanya mengikut arahan”.
Kini kita melihat pantulan watak yang hampir sama dalam skandal pemain warisan: Rob Friend. Di Malaysia, dia muncul sebagai arkitek projek naturalisasi, menjadi wajah utama pengumuman pemain warisan.
Namun dalam penghakiman Fifa, tiba-tiba dia bukan seorang CEO, sebaliknya “sekadar konsultan” yang berpusat di Kanada. Dalam sidang media pula, Friend menyatakan bahawa entiti National Team di bawahnya “langsung tidak terlibat” dalam apa jua proses dokumentasi.
Dia mencuci tangan daripada projek yang sebelum ini dijaja sebagai langkah pembaharuan bola sepak negara.
Gaya dan alasan-alasan seperti itu adalah pola yang sama kita lihat dalam 1MDB.
Ada masih memilih diam
Skandal pemain warisan turut membongkar budaya jalan pintas yang sudah lama menjangkiti bola sepak negara.
Seperti 1MDB yang mahu menjadikan Malaysia kuasa ekonomi global melalui hutang dan penipuan, projek pemain warisan nampaknya mahu melonjakkan ranking bola sepak negara melalui naturalisasi besar-besaran tanpa membina asas pembangunan akar umbi.
Kita mahu kejayaan cepat – ranking tinggi, kemenangan segera, lompatan pantas – tanpa kerja keras dan integriti. Hasilnya, seperti yang dinyatakan Fifa, Malaysia mendapat “undue sporting advantage” atau dalam bahasa mudahnya: kita menang dengan cara menipu.
Tetapi persoalan utama bukan pada pemain, bukan pada ejen, bukan pada FAM semata-mata tetapi terletak pada tindakan selektif negara kita sendiri.
Dalam skandal 1MDB, tindakan keras berlaku kerana dunia menekan. Jabatan Kehakiman (DOJ) AS membuka siasatan, Singapura menggantung bank, Switzerland mendenda institusi kewangan, aset dirampas dan Malaysia sendiri mendakwa beberapa individu.

Namun dalam skandal pemain warisan, meskipun FIFA menyatakan dengan jelas bahawa pemalsuan dokumen ialah jenayah dan Malaysia perlu membuka siasatan, kita masih memilih diam.
Tiada individu dipanggil, belum ada siasatan dibuka dan belum timbul kenyataan tegas daripada mana-mana kementerian.
Lebih mengecewakan, ahli politik yang suatu masa dahulu lantang menyerang isu 1MDB atas nama integriti kini tiba-tiba membisu. Sebahagian daripada mereka kini menjadi menteri, timbalan menteri dan segala macam jawatan penting dalam kerajaan.
Namun apabila berdepan skandal dokumen palsu yang memalukan negara, mereka mengambil sikap senyap. Jika dahulu mereka menuntut keadilan tanpa kompromi, hari ini mereka memilih untuk menjadi syaitan bisu.
Apakah prinsip integriti hanya lantang apabila ia menyentuh musuh politik? Apakah undang-undang hanya tegas apabila ia menimpa mereka yang tidak berpengaruh?
Bayar harga sangat mahal
Lebih malang, respon FAM dan pihak berkepentingan sejak skandal ini meletup sekadar berupa kenyataan media yang berbelit-belit, sidang media yang tidak menjawab soalan, teori “siapa di New York?”, tuduhan kepada Erick Thohir, dakwaan bahawa rakyat Malaysia tidak patriotik kerana mempercayai Fifa yang tidak menghukum Israel – semuanya ialah bahan bukti.
Setiap kenyataan bercanggah, setiap usaha mengalih tumpuan dan setiap cubaan menormalisasikan pemalsuan dokumen patut dikumpulkan oleh pihak berkuasa sebagai asas penyiasatan.
Jika benar terdapat kelulusan pasport dalam sehari, dokumen yang tidak disemak, ejen yang memanipulasi dokumen, audit bebas yang ditolak dan pegawai yang mencuci tangan, maka negara tidak boleh sekadar menghukum pemain. Itu bukan keadilan.
Kita tidak boleh membiarkan kambing hitam terus dihumban ke gurun, sekalipun kambing itu bertaraf “premium”, sementara dalang sebenar bersembunyi di balik kuasa.
Jika Malaysia benar-benar mahu membersihkan imejnya, penyiasatan mesti dilakukan secara menyeluruh. Mereka yang menggerakkan projek tersebut, yang membuka laluan pintas, yang menandatangani kelulusan pelik, yang menolak audit, yang memberi kenyataan bercanggah – semuanya mesti dipanggil.
Jika tidak, kita sedang mengajar generasi baru bahawa kebenaran boleh ditutup dengan kuasa dan kesalahan boleh dipadam jika cukup berpengaruh. Malaysia telah membayar harga yang cukup mahal dengan kes 1MDB.
Tidak sepatutnya bola sepak – sukan marhaen yang selama ini menjadi ruang paling jujur untuk rakyat bersatu dan berimpian – dicemarkan dengan penipuan yang disusun oleh mereka yang gemar bersembunyi di balik pengaruh dan kedudukan.
NUR HADI MOHAMAD ialah seorang pencinta sukan yang berhasil menumpahkan minatnya ke bidang penulisan dan kejurulatihan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.






