PARLIMEN | Teresa Kok (PH–Seputeh) mencadangkan penubuhan sebuah agensi sokongan nafkah anak peringkat persekutuan yang akan menguatkuasakan secara automatik pembayaran nafkah oleh bapa yang gagal atau enggan menyara anak-anak mereka.
Kok berkata Agenda Nasional Kasih Keluarga Negara tidak boleh bersandar kepada andaian bahawa para bapa secara automatik akan melaksanakan tanggungjawab mereka—bertentangan dengan realiti yang dihadapi ramai ibu tunggal.
“Ramai ibu terpaksa menjadi ‘pengutip hutang peribadi’, memburu bekas suami hanya untuk mendapatkan hak asas anak-anak mereka.
“Ini bukan sahaja tidak adil, malah memberi tekanan emosi dan kewangan yang berpanjangan,” katanya berucap semasa perbahasan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Dia menggesa kerajaan mencontohi negara-negara seperti Australia, United Kingdom dan Kanada yang telah menubuhkan sistem kerajaan untuk menguatkuasakan pembayaran nafkah melalui potongan gaji, penggantungan pasport, dan tindakan undang-undang.
“Pendekatan ini menjadikan nafkah sebagai tanggungjawab yang dipantau negara—bukan beban peribadi,
“Malaysia sudah terlewat, tetapi belum terlambat untuk bertindak demi keadilan dan masa depan anak-anak kita,” katanya lagi.
Sementara itu, Kok turut menggesa reformasi menyeluruh dalam sistem pendidikan negara, sambil menyambut baik penekanan kerajaan terhadap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam RMK13, namun menegaskan ia masih belum mencukupi.
Isu SMJK Confucian
“Di kawasan bandar, semakin ramai ibu bapa memilih sekolah swasta atau pembelajaran di rumah kerana mereka telah hilang keyakinan terhadap sistem pendidikan kebangsaan,” katanya.
Dia menyeru Kementerian Pendidikan menjalankan kaji selidik di seluruh negara dalam kalangan ibu bapa untuk memahami dengan lebih mendalam pilihan mereka serta sebab ramai dalam kalangan kelas menengah dan ke atas cenderung menghantar anak-anak ke sekolah swasta.
Kok juga memperbaharui gesaan supaya Kementerian Pendidikan melayan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) secara adil, dengan merujuk kepada desakan lamanya agar SMJK Confucian dipindahkan dari tapak asal ke Lot 54836 di Taman Danau Desa.
Menurutnya, bangunan sedia ada SMJK Confucian yang dibina pada tahun 1922 telah disahkan tidak selamat oleh firma perunding JPC Sdn Bhd. Tambahan pula, sekolah itu menurutnya tidak memiliki tanah yang didudukinya, sebaliknya berkongsi tapak dengan sebuah sekolah persendirian Cina, sekali gus menghadkan kebolehan untuk berkembang dan menganjurkan aktiviti pelajar.
Kok menjelaskan tapak yang dicadangkan telah terbiar selama lebih dua dekad selepas Sekolah Kebangsaan Danau Perdana dipindahkan dan pertikaian undang-undang melibatkan Kementerian Pendidikan kini telah diselesaikan.
Dia turut memetik data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan terdapat 115,399 penduduk berumur antara 10 hingga 19 tahun dalam radius 5km dari Taman Danau Desa, namun hanya 16,237 pelajar berdaftar di 17 sekolah menengah yang sedia ada—menandakan ramai pelajar perlu bersekolah jauh dari tempat tinggal.
“Memandangkan lingkungan 5 km Taman Desa mempunyai 10 buah sekolah jenis kebangsaan Cina yang mempunyai 12,950 orang murid-murid dan ramai ibubapa berkenaan memang berminat hantar anak-anak mereka untuk meneruskan pelajaran di SMJK,” katanya.
Kok berkata satu memorandum berkaitan isu ini telah diserahkan kepada Menteri Pendidikan oleh Lembaga Pengelola SMJK Confucian bersama 26 persatuan komuniti tempatan.
“Saya juga pernah bangkitkan isu ini secara peribadi dengan Menteri dan Timbalan Menteri Pendidikan, saya berharap Kementerian Pendidikan akan mempertimbangkan rayuan pemindahan SMJK Confucian dengan seriusnya demi selamatkan murid-murid sekolah tersebut daripada terus belajar di bangunan sekolah yang tidak selamat,” tambahnya.