Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) digesa memandang serius keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung kehilangan pastor Raymond Koh dan aktivis sosial Amri Che Mat.
Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata ia susulan keputusan mahkamah yang memerintahkan KDN, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AGC meneruskan siasatan terhadap kes kehilangan paksa kedua-dua individu terbabit.
“Saya melahirkan rasa kesal dengan kenyataan Peguam Negara yang menganggap mahkamah tinggi membuat keputusan yang salah tanpa meneliti asas keputusan mahkamah secara menyeluruh dan serius.
“(Justeru itu) Saya menggesa Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, untuk mengarahkan PDRM mematuhi perintah mahkamah dan meneruskan siasatan terhadap kehilangan paksa Raymond Koh dan Amri Che Mat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada 5 Novlalu hakim Su Tiang Joo memutuskan kerajaan dan polis bertanggungjawab atas kehilangan Koh dan Amri.
Dalam kedua-dua kes, mahkamah mengarahkan polis membuka semula siasatan dan menyerahkan laporan perkembangan kes kepada AGC setiap dua bulan.
Kerajaan juga diperintah membayar RM10,000 sehari kepada Koh melalui akaun amanah sejak 13 Feb 2017 iaitu hari dia diculik, bersamaan 3,188 hari.
Mengulas lanjut, Kok turut menggesa Saifuddin mengambil tindakan terhadap beberapa anggota polis yang disyaki terlibat dalam kehilangan dua individu terbabit serta mengecualikan mereka daripada terlibat dalam siasatan susulan.
Menurut Kok, KDN dan PDRM perlu mengikut perintah mahkamah dengan serius, dan menghentikan usaha untuk menutup kes tersebut sebagai langkah untuk meningkatkan ketelusan, akauntabiliti dan profesionalisme pasukan keselamatan.
“Kehilangan paksa merupakan pelanggaran serius hak asasi manusia. Kerajaan Madani seharusnya mengecam salah laku anggota polis dan memastikan perkara seperti ini tidak berulang,” katanya.
Amri yang didakwa penganut Syiah hilang pada 24 Nov 2016 di Kangar, Perlis.
Isterinya pernah memberi keterangan bahawa pada 12 Mei 2018, seorang pegawai Cawangan Khas Perlis, Shamzaini Daud, mengaku bahagian itu bertanggungjawab atas penculikan tersebut.
Sementara itu, Koh, 62, diculik di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya, ketika memandu ke rumah rakannya. Rakaman kamera litar tertutup menunjukkan sekurang-kurangnya 15 lelaki dan tiga kenderaan SUV hitam terlibat dalam operasi bersepadu itu.
Pada 2019, Suhakam mendapati Koh dan Amri merupakan mangsa kehilangan paksa yang dilakukan oleh anggota Cawangan Khas Bukit Aman.






