Malaysia Oversight

Kluivert, PSSI berpisah lepas langkah ke Piala Dunia tersekat

By MkiniBM in October 16, 2025 – Reading time 1 minute
Kluivert, PSSI berpisah lepas langkah ke Piala Dunia tersekat


Persatuan Bola Sepak Indonesia (PSSI) mencapai persetujuan bersama untuk menamatkan kontrak ketua jurulatih pasukan kebangsaan negara itu, Patrick Kluivert, dan barisan kejurulatihannya.

Langkah itu adalah susulan kegagalan Skuad Garuda mara lebih jauh dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2026.

Dalam kenyataan hari ini, PSSI berkata, keputusan tersebut merupakan sebahagian daripada langkah penilaian semula strategi pembangunan bola sepak Indonesia serta hala tuju masa depan skuad kebangsaan.

Bekas penyerang antarabangsa Belanda dan Barcelona itu – yang menandatangani kontrak dua tahun pada Jan lalu bagi menggantikan Shin Tae-yong dari Korea Selatan – akan berundur bersama pasukan kejurulatihannya.

Ia sekali gus menamatkan khidmat mereka bersama skuad senior, bawah 23 tahun dan bawah 20 tahun Indonesia.

Pengerusi PSSI yang juga Menteri Belia dan Sukan, Erick Thohir, dalam kenyataan berasingan mengucapkan terima kasih kepada Kluivert dan barisan kejurulatihannya atas sumbangan mereka.

Dia juga menyifatkan pasukan kejurulatihan tersebut sebagai bahagian penting dalam kemajuan terkini pasukan kebangsaan Indonesia.

“Penghargaan kami juga ditujukan kepada penyokong, pemain, keluarga mereka serta pegawai yang menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi membantu pasukan kebangsaan mara ke pusingan keempat kelayakan Piala Dunia 2026.

“Ia satu pencapaian bersejarah bagi bola sepak Indonesia,” katanya.

Erick menegaskan bahawa PSSI akan melaksanakan penilaian menyeluruh dan menetapkan matlamat baru untuk skuad kebangsaan, termasuk menembusi kelompok 100 terbaik dunia Fifa, layak ke Piala Asia 2027 serta mara ke Piala Dunia 2030.

Bernama



Source link