Malaysia Oversight

KKR minta orang ramai salur maklumat

By MkiniBM in December 8, 2025 – Reading time 1 minute
KKR minta orang ramai salur maklumat


Kementerian Kerja Raya (KKR) meminta orang ramai yang ada maklumat berkaitan pihak yang mengalihkan tanda amaran dan penghadang konkrit di lokasi kemalangan kenderaan utiliti sukan (SUV) di Hulu Terengganu baru-baru ini agar tampil membantu siasatan.

Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata kementerian memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu kerana kawasan berkenaan telah ditutup dan dilengkapi langkah keselamatan mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.

“Kalau didakwa (tanda amaran dan penghadang konkrit itu) dialihkan, penting untuk kita tahu siapa yang mengalihkan itu.

“KKR memang tidak mengalihkan (tanda amaran dan penghadang konkrit itu), langkah berjaga-jaga memang kita buat,” katanya kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan KKR yang turut dihadiri Perdana Menteri Ibrahim di Kuala Lumpur hari ini.

Kata Nanta siasatan di lokasi kejadian sedang dijalankan mengikut tatakelola KKR namun pihaknya belum dapat memastikan pihak yang mengubah kedudukan penghadang keselamatan tersebut.

“Kita belum tahu lagi… kalau sesiapa tahu, bagitahu kepada kami,” katanya.

Jumaat lalu sepasang bakal pengantin selepas SUV yang mereka naiki dari arah Hulu Terengganu menuju ke Gua Musang terbabas sebelum terhumban ke gaung sedalam 61 meter di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah).

Polis sebelum ini memaklumkan faktor kecuaian dipercayai menjadi punca insiden itu sementara pemeriksaan mendapati tanda amaran dan penghadang konkrit di lokasi kejadian telah dialihkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bernama



Source link