MUAR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperkukuh kerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bagi membanteras kegiatan penyeludupan produk kesihatan di negara ini.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata AKPS turut memainkan peranan penting dalam advokasi dan pendidikan awam untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya produk kesihatan seludup.
Objektif AKPS semakin jelas sejak penubuhannya tahun lalu termasuk kejayaan terbaru mematahkan cubaan menyeludup ubat tidak berdaftar bernilai 85,000 ringgit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
KKM akan terus menyertai pasukan AKPS bersama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia, Jabatan Imigresen serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.
Fokus penguatkuasaan adalah terhadap peraturan di bawah Akta Jualan Dadah serta Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
AKPS berjaya menggagalkan cubaan menyeludup lebih 60,000 unit ubat daripada 30 jenis berbeza yang tidak berdaftar dengan KKM di KLIA Terminal 1 minggu lepas.
Penemuan itu dibuat selepas pegawai kastam mengesan imej imbasan mencurigakan pada empat bagasi milik seorang lelaki warganegara Bangladesh sebelum pemeriksaan terperinci dijalankan.
Lawatan Dzulkefly ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah bertujuan meninjau tahap kesiapsiagaan fasiliti tersebut dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat.
Hospital berstatus jenis dua ini berperanan sebagai Hospital Kluster Utama bagi Johor Utara dengan kapasiti 575 katil dan hampir 18 perkhidmatan kepakaran. – Bernama