Kementerian Kesihatan menegaskan bahawa acara di Kelantan bulan lepas yang terpalit kontroversi adalah program NGO yang memfokuskan kepada HIV, yang disokong oleh pihaknya.
Bagaimanapun, kementerian tidak mengulas berkaitan serbuan polis.
Polis berkata serbuan dibuat–yang berlaku selepas acara berakhir–atas alasan dakwaan berlakunya pesta gay.
Pengesahan itu dibuat menerusi jawapan Menteri Kesihatan Dzulkefly Ahmad di X malam tadi, sebagai respons kepada hantaran yang memintanya mempertahankan program kesedaran HIV itu.
Dalam jawapannya, Dzulkefly memuat naik terjemahan bahasa Inggeris kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Kesihatan Kelantan Dr Zaini Hussin semalam – yang juga dilampirkannya – berkenaan program tersebut.
Dalam kenyataan itu, Zaini menjelaskan bahawa program tersebut dianjurkan oleh sebuah NGO tempatan, Sahabat, yang berada bawah pengawasan Yayasan Bantuan Aids.

Katanya, Sahabat telah menjadi rakan strategik Jabatan Kesihatan Kelantan sejak 2006 dalam melaksanakan program pendidikan kesihatan dan aktiviti lapangan yang mensasarkan kumpulan berisiko tinggi termasuk penagih dadah suntikan dan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.
Ini bertujuan meningkatkan kesedaran tentang HIV, jangkitan kelamin, dan Hepatitis C.
Zaini juga menegaskan bahawa kerjasama antara Kementerian Kesihatan, jabatan kesihatan negeri, dan NGO kesihatan penting dalam mendekati kumpulan berisiko tinggi untuk meningkatkan kesedaran mereka tentang strategi pencegahan, kepentingan diagnosis awal, dan manfaat rawatan awal.
“Kementerian Kesihatan tetap komited dengan pendekatan kesihatan awam yang mengutamakan pencegahan penyakit, intervensi awal, dan akses kepada rawatan untuk semua, selaras dengan dasar kesihatan negara mengikut nilai agama dan sensitiviti budaya,” tambahnya.
Pada 17 Jun, polis menyerbu program tersebut pada jam satu pagi dan merampas ubat HIV serta kondom.
Ketua Polis Kelantan Yusoff Mamat mendakwa operasi itu dijalankan berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dikumpul oleh pasukan khas berikutan aduan tentang majlis bertemakan makanan yang dipercayai dianjurkan khas untuk komuniti gay.
Bagaimanapun, beberapa NGO menolak dakwaan bahawa program itu adalah “pesta gay”.
Sebaliknya, mereka menjelaskan bahawa program tersebut memberikan maklumat kesihatan seksual dan berkaitan HIV, kondom, serta ujian sukarela untuk menggalakkan amalan seksual yang lebih selamat.
Majlis Aids Malaysia – yang turut terlibat – menambah bahawa sesi tersebut berlanjutan hingga lewat malam kerana ujian HIV dilakukan secara sulit dan profesional, mengambil masa kira-kira 10 hingga 15 minit bagi setiap klien. Mereka yang mempunyai keputusan reaktif diberikan kaunseling dan dirujuk untuk tindakan susulan.