KKM Melancarkan Sistem Saringan Penyakit Paru-Paru Diperkasakan AI
May 5, 2025
•
Effi Saharudin
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melancarkan inisiatif saringan X-ray berasaskan kecerdasan buatan (AI) bagi mengenal pasti penyakit paru-paru dengan lebih tepat. Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, menyatakan bahawa teknologi ini menggabungkan X-ray yang diperkuatkan dengan AI untuk melakukan analisis data bagi meningkatkan ketepatan dalam melakukan diagnosis.

Saringan ini disasarkan kepada kumpulan berisiko tinggi seperti golongan perokok aktif, individu yang terdedah kepada asap rokok sekunder, pekerja industri kimia, dan mereka yang terdedah kepada bahan toksik. Projek rintis ini akan dijalankan di tujuh klinik kesihatan kerajaan di seluruh negara. Peserta yang menunjukkan tanda-tanda awal akan menjalani imbasan CT dos rendah (LDCT) untuk mengesahkan keputusan.
Kos pemasangan perisian AI di setiap klinik adalah sekitar RM10,000 dengan klinik yang terhubung tidak perlu memasang perisian secara individi. Ini adalah antara Inisiatif Kesihatan Paru-paru Malaysia 2025-2030 yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran serta akses kepada rawatan yang lebih cepat dan berkesan. Ia selari dengan keputusan kerajaan menggalakkan penggunaan AI dalam kalangan penjawat awam menerusi AI At Work 2.0 yang dilancarkan pada Februari lalu.
Dalam satu kajian yang dilakukan oleh KKM pada tahun 2022, ahli radiologi mempunyai tafsiran prestasi diagnostik yang lebih baik dengan algoritma AI berbanding tanpanya untuk pengesanan kanser paru-paru pada radiografi dada. Sebagai contoh purata sensitiviti bertambah baik daripada 66.4% kepada 74.7% dan bilangan penemuan positif palsu setiap radiograf menurun daripada 0.25 ke 0.18 apabila pakar radiologi menyemak semula radiograf dengan algoritma AI.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.