Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup kini sedang menguji sistem bagi pembeli minyak masak bersubsidi mengesahkan kewarganegaraan melalui kod QR.
“Sekarang ini KPDN sedang membangunkan satu sistem untuk monitor sampai ke pengguna.
“Masih lagi dalam peringkat pilot (ujian awal), di mana pengguna itu perlu imbas kod QR dan apabila dia disahkan sebagai warganegara Malaysia, baru boleh beli minyak masak paket (bersubsidi),” kata Timbalan Menteri Fuziah Salleh di Dewan Negara semasa ucapan penggulungan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Dia berkata ini adalah susulan kebimbangan terhadap warga asing yang mengambil kesempatan terhadap bekalan minyak masak bersubsidi, yang hanya ditujukan kepada rakyat tempatan.
“Berkenaan dengan petrol, petrol RON95, insya-Allah tidak lama lagi, kalau kita gunakan pendekatan kad pengenalan (MyKad) di pam-pam minyak, hanya warganegara Malaysia yang boleh akses (harga subsidi),” katanya.
Dia berkata setiap item penting mempunyai isu unik dan oleh itu memerlukan langkah yang berbeza.
Dia memberi contoh gula yang bekalannya mencukupi di pasaran tempatan, tidak seperti minyak masak bersubsidi.
Menurut tinjauan Malaysiakini pada Jun, paket minyak masak bersubsidi sukar diperoleh, malah ada peruncit yang menjualnya melebihi harga kawalan kerajaan iaitu RM2.50 sebungkus.
Tinjauan yang bermula di pasar raya sekitar Selangor dan kemudiannya di Kelantan, secara umumnya mendapati minyak masak bersubsidi ini tidak mudah diakses oleh pengguna.
Semakan di kedai serbaneka menunjukkan hanya satu atau dua kotak dihantar setiap minggu.
Bagaimanapun, minyak paket lebih mudah ditemui di seberang sempadan iaitu di sekitar Sungai Golok, Narathiwat.
Barang keperluan harian dipercayai diseludup ke Thailand dan mudah didapati di kedai-kedai di seluruh bandar sempadan.
Tiada had untuk pembelian, dan ia dijual pada harga lebih dua kali ganda daripada harga asal.
Ini walaupun Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan pada Mei tahun lalu bahawa 134 pangkalan haram di sempadan negara telah ditutup, termasuk laluan penyeludupan berisiko tinggi di kawasan sempadan, khususnya di sepanjang Rantau Panjang-Sungai Golok.