Kerajaan akan meneliti pelaksanaan penyasaran semula subsidi dan bantuan ke atas barangan subsidi lain seperti gula, beras dan minyak masak secara berperingkat dan berfasa.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata langkah itu bertujuan memastikan tidak ada ketirisan berlaku serta menjamin subsidi hanya dinikmati oleh mereka yang benar-benar memerlukannya, seperti yang kerajaan laksanakan untuk subsidi diesel dan Budi Madani RON95 (Budi95).
“Buat masa ini keutamaan kerajaan adalah untuk memastikan kelancaran pelaksanaan program penyasaran subsidi bahan api diesel dan Budi95 sebagai asas kepada penyasaran subsidi yang lebih menyeluruh,” katanya ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Lim menjawab soalan tambahan daripada Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) berkenaan cadangan kerajaan untuk memperluas pelaksanaan subsidi kepada barangan lain seperti gula, minyak masak dan beras.

Sementara itu, Timbalan Menteri Ekonomi Hanifah Hajar Taib berkata berkata Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) kini mempunyai 30.4 juta profil individu dan isi rumah warga negara serta bermastautin tetap di Malaysia sejak dilancarkan pada Januari 2024.
Katanya, sebanyak 17 permohonan telah diluluskan untuk penggunaan data Padu bagi pelbagai penentuan dasar dan program setakat 31 Okt, 2025.
“Antara contoh terkini adalah penggunaan data Padu sebagai rujukan untuk inisiatif Budi95.
“Agensi lain yang telah diluluskan untuk menggunakan data Padu ialah Kementerian Kerja Raya, Jabatan Digital Negara, Kementerian Pendidikan Tinggi, Jabatan Pembangunan Kemahiran dan lain-lain,” katanya.
Dia menjawab soalan lisan daripada Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) tentang kajian keberkesanan sistem Padu dalam pelaksanaan subsidi bersasar sebelum dimulakan secara meluas.
Soalan itu turut merangkumi jumlah penerima yang telah disemak semula serta langkah mitigasi untuk mengelakkan keciciran golongan B40 dan M40 yang terjadi secara sistemik mahupun secara teknikal.
-Bernama






