Kerajaan wajar mempertimbangkan penubuhan sebuah portal sehenti Anti-Buli bagi menguruskan aduan berkaitan buli fizikal, siber dan institusi, gesa Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).
Portal itu, kata OCC bagi membolehkan kanak-kanak membuat aduan kes buli tanpa mendedahkan identiti bagi memastikan keselamatan mereka, selain memberi keupayaan menjejaki perkembangan laporan tersebut.
“Portal ini mesti mesra kanak-kanak, pelbagai bahasa dan boleh diakses oleh kanak-kanak kelainan upaya, termasuk menampilkan video bahasa isyarat serta pilihan teks dan audio.
“Ia juga perlu menyediakan panduan langkah demi langkah serta pautan terus untuk kecemasan, isu kesihatan mental, masalah di sekolah dan insiden siber yang boleh menghubungkan pengguna kepada pihak berkuasa berkaitan seperti Talian Kasih, Kementerian Pendidikan (KPM) dan polis.

“Laman web itu juga perlu dipautkan terus kepada platform media sosial bagi tujuan permintaan penurunan kandungan secara segera,” kata OCC dalam kenyataan hari ini.
Selain pilihan dalam talian untuk menguruskan laporan buli, OCC berkata kerajaan wajar mempertimbangkan kaedah luar talian termasuk peti aduan di sekolah serta institusi, selain saluran SMS terus bagi mangsa buli mengemukakan laporan.
OCC berkata semua sekolah dan asrama diwajibkan mempunyai dasar perlindungan kanak-kanak rasmi yang ditandatangani guru, warden dan ibu bapa, serta digubal dengan input daripada kanak-kanak sendiri.
Dasar ini, katanya, perlu merangkumi klausa anti-buli, prosedur pelaporan yang jelas, langkah perlindungan mangsa dan latihan wajib untuk semua pihak berkaitan.

“Ibu bapa, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pihak sekolah mesti membuat ikrar rasmi membanteras buli dengan menghadiri bengkel serta memberi tindak susulan secara aktif terhadap pelan intervensi untuk anak-anak mereka.
“Guru memainkan peranan penting dalam mewujudkan suasana pembelajaran yang selamat dan inklusif.”
Buat masa ini, silibus pengajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) khususnya berkaitan hak kanak-kanak masih terhad skopnya, selain digubal tanpa konsultasi OCC.
Sehubungan itu, OCC mencadangkan silibus tersebut disemak semula agar sejajar dengan objektif Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC).
Selain itu, modul hak asasi manusia yang dibangunkan bersama IPG pada masa ini masih bersifat pilihan dan perlu dijadikan kursus wajib untuk semua guru pelatih.
Langkah ini, menurut OCC bagi memastikan para pendidik benar-benar dilengkapi pengetahuan untuk melindungi, menegakkan dan mempromosikan hak kanak-kanak, yang merupakan sebahagian daripada modul hak asasi manusia.
“OCC turut menggesa kerajaan, Kementerian Pendidikan, sekolah, guru, ibu bapa serta masyarakat untuk mengambil tindakan segera.
“Penguatkuasaan undang-undang, penambahbaikan saluran pelaporan dan perlindungan privasi kanak-kanak — sama ada mangsa atau pelaku — amat penting.
“Buli bukanlah budaya kita, ia pelanggaran hak yang mesti dihapuskan.”
Perbuatan buli melanggar konvensyen CRC PBB yang telah diratifikasi Malaysia, dan ia boleh dihukum di bawah undang-undang termasuk peruntukan baharu Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan.
Seksyen 507 menjenayahkan ugutan melalui komunikasi tanpa nama manakala subseksyen B hingga G memperincikan kesalahan berkaitan buli termasuk penderaan lisan, gangguan psikologi dan ancaman dalam talian.
Menurut OCC, setiap kanak-kanak berhak bersekolah dan tinggal di asrama tanpa rasa takut, gangguan atau keganasan.
“Kami menegaskan bahawa semua bentuk buli tidak boleh diterima dan mesti ditangani segera.”
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah menitahkan agar kerajaan melaksanakan kempen anti-buli secara menyeluruh bermula di peringkat sekolah rendah bagi mengekang masalah yang semakin meruncing.
Baginda memberi amaran sekiranya masalah buli tidak ditangani sejak di bangku sekolah rendah, ia berisiko melahirkan generasi yang kurang rasa hormat dan tiada belas kasihan terhadap sesama manusia.