PARLIMEN l Kerajaan mungkin akan mengkaji semula langkah sekatan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang gagal membuat bayaran balik.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang bertanya jika kerajaan akan mengembalikan langkah sekatan itu terhadap pesalah tegar yang enggan membayar pinjaman walaupun mampu.
“Mungkin kita akan kaji semula, tetapi buat masa ini masih lagi belum ada pertimbangan untuk adakan sekatan ke atas peminjam-peminjam,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Mengulas lanjut, Mustapha berkata hingga Julai tahun ini, PTPTN telah meluluskan pinjaman kepada 3.1 juta peminjam daripada golongan B40 atau penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dengan jumlah pinjaman dikeluarkan sebanyak RM59.44 bilion.
Selain itu,beliau memaklumkan permohonan bagi pengecualian bayaran balik untuk pemegang ijazah kelas pertama di laman web PTPTN akan mula dibuka pada 1 Sept ini, selepas proses penyelenggaraan selesai.
“Saya juga ingin memaklumkan kepada dewan yang mulia ini, skim kelas pertama ini telah dimulakan seawal 2001 dan setakat ini jumlah keseluruhan pelajar mendapat manfaat sebanyak 133,159 dengan nilai lebih kurang RM2.9 bilion,” katanya.
– Bernama