Kerajaan digesa campur tangan dan menghalang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) daripada menggunakan dana awam untuk memfailkan saman fitnah terhadap pihak yang mengkritiknya, susulan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap penulis blog Australia, Murray Hunter.
Bekas ketua pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya berpendapat agensi kerajaan “tidak sepatutnya” menyaman orang awam yang membuat kritikan, dan mengingatkan tindakan sedemikian boleh memberi kesan buruk terhadap kebebasan bersuara dan perbahasan di ruang awam mengenai institusi kerajaan.
“Mereka (MCMC) perlu berhenti bertindak seolah-olah mereka pihak persendirian yang tersinggung dengan kritikan.
“Jika kepimpinan MCMC berpendapat ada pihak yang membuat kenyataan palsu tentang atau berkaitan suruhanjaya itu, tindakan yang betul ialah mengeluarkan kenyataan penafian, penjelasan atau penerangan,” kata Latheefa kepada Malaysiakini.
Semalam, MCMC berkata keputusan mahkamah yang memutuskan Hunter bersalah atas fitnah dalam saman yang difailkan oleh pihaknya mengesahkan bahawa kebebasan bersuara bukanlah hak mutlak, sebaliknya perlu diamalkan secara bertanggungjawab dan tertakluk kepada batas undang-undang.
Menurut MCMC, Hunter telah menerbitkan beberapa artikel yang mengandungi kenyataan palsu dan berunsur fitnah terhadap suruhanjaya itu antara April hingga November 2024, yang mengandungi tuduhan serius serta tidak berasas sehingga mengelirukan orang ramai dan mencemarkan reputasinya.
Terdahulu, MCMC memaklumkan laporan polis telah dibuat di Malaysia dan Thailand pada April dan Jun 2024 berhubung artikel tersebut.

Namun, Latheefa menegaskan tindakan agensi awam, yang dibiayai oleh pembayar cukai, menggunakan sumber tersebut untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap orang awam adalah tidak boleh diterima.
“Mengapa MCMC menggunakan wang cukai kita untuk membiayai tindakan undang-undang terhadap pengkritik? Anda tidak boleh menggunakan dana awam untuk menentang rakyat,” kata pengasas bersama Lawyers for Liberty itu.
Justeru, katanya, kerajaan perlu campur tangan dan menetapkan dasar yang jelas bahawa agensi kerajaan atau badan berkanun tidak dibenarkan menyaman individu atas kenyataan atau kritikan yang ditujukan kepada mereka.
“Selain itu, kenyataan MCMC tidak menjelaskan jika keputusan ini dibuat selepas perbicaraan penuh atau keputusan default judgment, memandangkan Hunter tidak berada di negara ini untuk mempertahankan diri.
“Seperti yang diketahui umum, dia kini berada di Thailand menghadapi kes jenayah terhadapnya, susulan laporan yang dibuat oleh MCMC sendiri,” katanya.
Awal bulan ini, Hunter memberitahu Malaysiakini bahawa pihak berkuasa Thailand bertindak atas arahan MCMC untuk menahan dan mendakwanya atas tuduhan fitnah berhubung beberapa artikel blognya yang mengkritik pihak berkuasa Malaysia.
Berdasarkan dokumen mahkamah dan laporan polis, pengulas politik itu didakwa di bawah Seksyen 328 Kanun Keseksaan Thailand atas kesalahan fitnah, dengan empat artikel di platform Substack miliknya dikemukakan sebagai bahan berunsur fitnah.
Dokumen itu turut menyertakan pautan kepada hantaran Substack Hunter, di mana dia mengkritik MCMC, PDRM dan pemimpin Umno kerana didakwa melanggar Perlembagaan Persekutuan demi kepentingan sendiri serta mengabaikan kepentingan awam.






