Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Jeffrey Kitingan mengesahkan penamatan keahlian lima wakil rakyat parti itu yang menyatakan sokongan kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurut Kitingan, Majlis Tertinggi Star telah menerima dan meluluskan peletakan jawatan kelima-lima pemimpin berkenaan daripada parti.
“Mereka secara automatik tiada keahlian dalam Star,” kata ahli parlimen Keningau itu ringkas, seperti dipetik dalam satu video yang dimuat naik di Facebook beliau hari ini.
Dia turut memaklumkan jawatan parti yang dikosongkan oleh lima individu berkenaan akan dipangku sementara oleh timbalan masing-masing.

Kelima-lima wakil rakyat itu memegang jawatan kanan dalam parti, termasuk Ellron Angin (Sook) dan Robert Tawik (Bingkor) yang masing-masing merupakan timbalan presiden.
Tiga lagi ialah Abidin Madingkir (Paginatan), Annuar Ayub (Liawan) dan Flovia Ng (Tulid).
Pada Isnin lalu, Ketua Menteri sementara Sabah Hajiji Noor mengesahkan bahawa lima wakil rakyat itu memilih untuk berpihak kepada GRS.
Ini dilihat satu langkah menjauhkan diri mereka daripada Kitingan selepas Star dipecat secara automatik daripada gabungan tersebut berikutan keputusannya untuk bertanding dalam pilihan raya negeri menggunakan logo sendiri.
Bukan perkara baru, kata Kitingan
Kitingan dalam reaksinya menyifatkan tindakan lima wakil rakyat itu sebagai “bukan sesuatu yang baru”, sambil menegaskan dia menghormati keputusan mereka dan sudah biasa berdepan situasi seperti itu sepanjang perjalanan politiknya.
Bagaimanapun, langkah itu menimbulkan persoalan mengenai pengaruh Kitingan dalam parti serta jika dia perlu mencari calon baharu bagi menggantikan tempat mereka menjelang pilihan raya negeri akan datang.
Setakat ini, belum jelas sama ada lima bekas pemimpin Star itu akan dicalonkan sebagai wakil rasmi GRS dalam pilihan raya berkenaan.

Kitingan turut memaklumkan mesyuarat Majlis Tertinggi Star semalam membincangkan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17, termasuk perbincangan mengenai manifesto dan jentera kempen parti.
Dia berkata Star merancang untuk melancarkan program “Justice for Sabah”, yang berkemungkinan akan diadakan pada 18 haribulan ini.
Tanpa menamakan mana-mana parti, Kitingan juga mendedahkan Star terbuka untuk bekerjasama dengan tiga parti tempatan lain bagi menghadapi pilihan raya tersebut.
““Ada beberapa parti, saya belum umumkan, ada tiga (parti), mungkin selepas kita jumpa dia orang, tengok apa dalam hati mereka,” katanya.
Dakwaan rasuah lombong
Kitingan serta beberapa pemimpin GRS kini turut berdepan dakwaan rasuah yang dikaitkan dengan projek penerokaan mineral di Sabah.
Dua daripada lima Adun Star berkenaan — Ellron Angin dan Robert Tawik — turut dituduh menerima rasuah daripada ahli perniagaan Albert Tei, walaupun Ellron menafikan tuduhan tersebut.
[Baca berita asal]






