Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin berkata usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim bergantung kepada keputusan Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul berhubung satu lagi usul yang dikemukakan terhadap Ahli Parlimen Tambun itu.
Bercakap kepada pemberita di Parlimen, Hamzah menyentuh usul dikemukakan oleh Ketua Whip PN, Takiyuddin Hasan pada 24 Julai lalu, bagi merujuk Anwar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung kenyataannya mengenai Dr Mahathir Mohamad dan isu Pulau Batu Puteh.
“Bila kita nak buat sesuatu, kita dah ada step dia. Pertama kita dah buat untuk bawa YB Tambun ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan.
“Kita nak tengok apa speaker punya respons? Lepas tu baru kita bawa yang satu lagi. Tak boleh kita melangkaui ini sebab kita nak buat itu dulu,” tambahnya.
Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sehari selepas perhimpunan “Turun Anwar” yang dihadiri lebih 25,000 peserta di Kuala Lumpur, mencabar Hamzah supaya membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
Cabaran itu dibuat sebagai respons kepada ucapan Hamzah dalam perhimpunan tersebut, yang dilapor berkata, “Tak apa, tunggulah. Kita akan lakukan nanti. Takkan kita nak sebut (bila akan hantar usul berkenaan).
Terdahulu Johari dalam Dewan Rakyat hari ini mempengerusikan sesi perbahasan Rancangan Malaysia ke-13, di mana dia menerima pertanyaan mengenai beberapa usul yang belum diputuskannya.
Antaranya Takiyuddin yang bertanya usul yang dikemukakan terhadap Anwar pada 24 Julai lalu, yang kemudian dijawab Johari bahawa perkara itu masih dalam siasatan.

“Memandangkan (Ahli parlimen) Kota Melaka bangkitkan usul, saya pun ada usul, Tan Sri (Johari) dah terima 24 Julai usul saya untuk hadapkan Tambun ke jawatankuasa hak dan kebebasan berhubung statement berkaitan RCI Batu Puteh,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu itu.
Johari kemudian berkata: “Siasatan sedang berjalan, panjang…,”
Menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Hulu Terengganu bilakah perkara itu akan diketahui, Johari sambil tersenyum berkata: “Jangan persoalkan keikhlasan saya.”
Dalam usulnya, Takiyuddin merujuk kenyataan Anwar dalam Dewan Rakyat pada 22 Julai, bahawa Kabinet memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap Mahathir berhubung isu Batu Puteh kerana faktor usia, walaupun mengakui bekas perdana menteri itu “bersalah”.
Takiyuddin mendakwa, kenyataan Anwar itu mengelirukan Dewan kerana kuasa untuk memulakan atau menggugurkan pertuduhan terhadap individu terletak pada Peguam Negara, bukan Perdana Menteri.