Kementerian Kesihatan akan menubuhkan kaukus parlimen bagi menilai semula dasar dan undang-undang sedia ada berkenaan dadah, dengan tumpuan kepada pendekatan berasaskan bukti dan bukan semata-mata hukuman.
Memaklumkan perkara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Lukanisman Awang Sauni menegaskan isu dadah perlu dilihat sebagai isu kemanusiaan yang memerlukan libat urus menyeluruh.
“Isu dadah ini perlu kita lihat secara bipartisan, tidak mewakili mana-mana badan politik, agama dan pegangan, tetapi meliputi isu kemanusiaan.
“Isu ini perlu melibatkan pelbagai pemegang taruh dan tidak bergerak secara silo (bersendirian),” katanya semasa sidang media selepas merasmikan Drug Policy Summit Malaysia 2025 yang berlangsung di sebuah hotel di ibu negara hari ini.
Menurutnya, kerajaan mahu membawa perubahan terhadap dasar dadah agar lebih seimbang antara aspek penguatkuasaan, rawatan dan pemulihan.
Sidang kemucak dua hari ini anjuran Drug Policy Program Malaysia (DPPM) di bawah naungan Yayasan AIDS Malaysia (MAF), dan menghimpunkan lebih 170 peserta termasuk 14 delegasi antarabangsa yang terdiri daripada pakar kesihatan awam, pegawai penguat kuasa, ahli akademik, profesional bidang psikiatri dan ketagihan, serta wakil NGO dan pusat rawatan komuniti.
Sidang itu akan membincangkan penilaian semula dasar dadah negara dengan menekankan keperluan dasar yang lebih inklusif, berteraskan bukti dan menekankan nilai kemanusiaan serta kesejahteraan masyarakat.
Mengulas lanjut, Lukanisman berkata sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan bagi menilai semula undang-undang dan dasar berkaitan kesalahan dadah kecil.
Katanya lagi, dasar dekriminalisasi juga akan diperkenalkan untuk memberi peluang kedua, khususnya kepada penagih yang boleh dirawat melalui sektor kesihatan.
“Kita tidak ingin melihat kesalahan tersebut sebagai kesalahan kekal kerana menurut data penagihan yang tertinggi adalah di kalangan belia 19 ke 39 tahun.
“Ini adalah merupakan generasi produktif, generasi yang menyumbang kepada ekonomi.
“Kita tidak mahu melihat mereka dihukum di bawah akta yang sudah lapuk — masih terperangkap pada era kolonial,” katanya lagi.
Dia berkata Jawatankuasa Kerja Dekriminalisasi telah bersidang sebanyak tiga kali sejak Jun 2024, manakala kumpulan teknikal dan pasukan petugas khas kebangsaan juga telah mengadakan dua mesyuarat bagi membincangkan langkah ke hadapan berhubung masalah dadah.
Kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada proses rawatan yang lebih menyeluruh melalui kerjasama antara Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), kementerian lain dan NGO.
Berdasarkan data Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Malaysia merekodkan 192,857 individu terlibat dengan penyalahgunaan dan penagihan dadah pada 2024, dengan 60.3 peratus (116,245) terdiri daripada golongan belia berumur 19 hingga 39 tahun.
Jenis dadah yang paling banyak disalah guna ialah Amphetamine-Type Stimulants (ATS) sebanyak 72.5 peratus, diikuti oleh opiat (20.6 peratus) dan kanabis (3.7 peratus).






