Naib Presiden Amanah, Mahfuz Omar mengingatkan ahli-ahli parti bahawa mereka daripada parti Amanah dan bukan ‘parti amarah’, susulan insiden kekecohan yang berlaku pada Konvensyen Amanah pagi tadi.
Mahfuz berkata dia memahami semangat perjuangan tinggi yang ditunjukkan para perwakilan, namun mengingatkan mereka agar mengawal emosi.
“Pagi tadi saya kira adalah suatu yang semua pakat terkejut, bagi saya itu menunjukkan sesuatu perjuangan yang hidup, sampai diviral dengan cepat oleh media.
“Ini menunjukkan semangat perjuangan yang sangat tinggi. Cuma ini pesanan saya nak mengingatkan kepada kita semua, kita kena ingat kita ini parti Amanah, bukan parti amarah.
“Ini kena bezakan, amanah dengan amarah, biarlah kita berlawan dengan hujah, akal dan ilmu sudah pasti kita akan mendapat satu rumusan yang baik,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan dalam Konvensyen Amanah Nasional 2025 di Shah Alam, hari ini.

Terdahulu, suasana konvensyen itu pagi tadi menjadi sedikit tegang apabila beberapa perwakilan mendesak agar usul mengenai pemilihan parti dibahaskan segera.
Pengerusi Tetap Amanah, Azhar Abd Shukur, dilaporkan berulang kali menenangkan keadaan sebelum membenarkan dua perwakilan membentangkan cadangan masing-masing mengenai pemilihan parti.
Keadaan kembali tegang berikutan wujud pandangan berbeza apabila seorang ahli mencadangkan agar pemilihan parti ditangguhkan selepas tahun 2026, manakala seorang lagi mahu ia diteruskan segera.

Setiausaha Agung Amanah, Faiz Fadzil, dalam ucapannya petang ini memaklumkan bahawa pihak jawatankuasa usul menerima dua usul mengenai pemilihan parti yang dijadualkan tahun hadapan.
Menurutnya, satu usul mencadangkan penangguhan pemilihan, manakala satu lagi mencadangkan agar ia diteruskan.
“Saya ingin kongsi bahawa ada usul yang diusulkan oleh kawasan untuk menangguhkan pemilihan, ada juga yang diusulkan untuk meneruskan pemilihan. Jawatankuasa usul telah bermesyuarat dan menerima kedua-dua usul ini sebagai cadangan.
“Jadi apabila usul berkaitan usul ini diterima, maka kita berpendapat tidak perlu lagi untuk kita bahaskan, sebab usul sudah diterima.
“Soal bila kita nak buat pemilihan itu bergantung kepada strategi pilihan raya, yang paling penting kita nak bawa parti ini menang dalam pilihan raya akan datang dan terus memerintah negara bersama PH dan gabungan perpaduan,” katanya.

Dalam perkembangan sama Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad turut menjelaskan bahawa tiada sebarang keputusan dibuat berhubung pemilihan pimpinan parti 2026.
Katanya kepimpinan parti belum membuat sebarang perbincangan mengenai perkara itu kerana ia bergantung kepada tarikh pilihan raya umum akan datang.
“Tiada mesyuarat lagi untuk bincang kerana apa? kerana kita tak tahu pilihan raya bila, jadi mengikut perlembagaan (parti) memang pimpinan ada kuasa untuk menentukan kalau nak tunda, jadi kita lihat tahun hadapan.
“Tiada orang buat keputusan nak tangguh, tiada orang buat keputusan nak teruskan, belum lagi,” tegas bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu.






