Pertikaian mengenai minuman beralkohol baru-baru ini secara tidak dijangka berkembang menjadi perdebatan politik di Sarawak – sebuah negeri yang sekian lama dikenali dengan sifat keterangkuman dan kemajmukannya.
Segalanya bermula apabila Timbalan Premier Sarawak, Dr Sim Kui Hian, dilapor membuat perbandingan antara Bumi Kenyalang dengan Semenanjung Malaysia.

“Di sini (Sarawak), kita tidak berdepan sekatan apabila mahu minum, tidak seperti di Semenanjung Malaysia. Di sini, kita minum bila kita mahu – bukan perkara besar. Itu memang cara hidup kita,” kata presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu.
Menurut laporan See Hua Daily, Sim berkata penghormatan yang semakin meningkat terhadap Sarawak bukan disebabkan individu tertentu, sebaliknya hasil pencapaian rakyat negeri itu secara kolektif.
“Sarawak tahun 2015 dan Sarawak tahun 2025 amat berbeza. Dahulu, orang pandang rendah pada kita.
“Hari ini, dunia memerhatikan kita. Dalam tempoh sedekad, kita sudah beralih daripada dipandang rendah kepada dihormati,” katanya.

Kenyataan itu kemudiannya tular di media sosial, dengan ramai dalam komuniti Cina Sarawak memuji Sim atas pendiriannya.
Namun, Adun Pending dari DAP, Violet Yong, menolak pujian tersebut dan mempersoalkan mengapa Sim berdiam diri apabila bir tempatan jenama Santubong ditekan supaya ditarik balik dari pasaran.

“Apabila bir Santubong diminta oleh seorang menteri PBB/GPS untuk dikeluarkan dari rak jualan dan tidak menggunakan nama Santubong, Sim langsung tak berani bersuara!
“Kenapa dia tak pertahankan bir Santubong?” soal Yong dalam satu hantaran di Facebook.
Bulan lalu, Zebrew Craft Beer mengumumkan bahawa ia akan menamatkan pengeluaran bir Santubong dan menarik produk itu dari pasaran “disebabkan sambutan dan perhatian luar jangka terhadap nama Santubong.”
Tindakan itu dibuat selepas menerima kritikan awam, termasuk daripada Ahli Parlimen Santubong Nancy Shukri, yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Ketua biro aduan awam SUPP, Milton Foo, yang juga pencabar Yong pada pilihan raya negeri 2021, membalas kritikan tersebut dengan menuduh Yong mengabaikan fakta asas.
“Awak boleh dapat bir tempatan Sarawak, 1602, di Festival Kuching setiap tahun, kan?
Festival Kuching itu acara rasmi di bawah Majlis Bandaraya Kuching Selatan, kan?
“Dan majlis itu pula di bawah Kementerian Kerajaan Tempatan yang diketuai oleh Sim, kan?
Jadi, bagaimana seorang YB selama 20 tahun tak tahu perkara yang setiap penduduk Kuching tahu?” sindir Foo.

Sementara itu, dua hari lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi peringatan tegas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing berhubung satu majlis makan malam industri yang dihadirinya, yang turut menghidangkan alkohol.
Anwar turut menegaskan bahawa dia tidak menerima penjelasan Tiong bahawa majlis tersebut bukan “acara kerajaan”.
Tiong merupakan presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), salah satu parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang juga sekutu utama kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.






