Kioxia LC9 Dikemaskini Dengan Kapasiti Storan 245TB Untuk Kegunaan Pusat Data Dan AI
July 22, 2025
•
Nazrin
Kapasiti storan pantas secara lazimnya dilihat akan sentiasa meningkat dengan kemajuan teknologi, dan kini, khususnya untuk segmen pusat data, pembelajaran mesin dan juga inferens AI, Kioxia, sebuah syarikat yang dikenali untuk penawaran storan kelas enterprise mereka telah mengemaskini pilihan storan Kioxia LC9 mereka dengan penawaran storan yang terbesar setakat ini.
Hadir dalam beberapa pilihan format yang berbeza, Kioxia LC9 hadir dengan pilihan storan sebesar 245TB dalam satu storan sahaja. Pada awal tahun ini, Kioxia LC9 diperkenalkan dengan pilihan storan sebesar 123TB, dan kini, jumlah storan tersebut telah digandakan ke pilihan yang lebih besar.

Storan Kioxia LC9 ini dilihat hadir dalam dua reka bentuk berbeza, 2.5 inci dan EDSFF (Enterprise and Datacenter Standard Form Factor) E3.L dan boleh digunakan dalam pusat data yang memfokuskan kepada pembelajaran mesin dan inferens AI, khususnya AI generatif yang memerlukan kadar pembacaan dan penulisan data yang lebih pantas.
Bercakap mengenai itu, storan Kioxia LC9 ini menggunakan teknologi penghantaran data PCIe 5.0, dengan pilihan storan 245TB memperlihatkan kadar pembacaan data sepantas 12GB/s dan penulisan data sepantas 3GB/s.

Terdapat sedikit jurang diantara kedua-dua kadar ini kerana memastikan integriti isyarat penghantaran data pada storan sebesar ini adalah sangat penting, dan oleh kerana itu, kadar kelajuan penulisan data ini tidak begitu laju berbanding dengan sejumlah storan pusat data yang lain. Dalam pada itu,

Storan Kioxia LC9 dengan kapasiti 245TB ini terdiri daripada cip memori QLC 3D 2Tb yang ditindan sebanyak 32 lapisan untuk menghasilkan satu pakej NAND dengan kapasiti 8TB. 30 pakej-pakej NAND ini kemudiannya digabungkan untuk menghasilkan storan bersaiz 245TB tersebut.
Storan Kioxia LC9 dengan kapasiti 245TB ini sedang diuji oleh pelanggan-pelanggan tertentu, dan akan diperlihatkan sewaktu acara Future of Memory and Storage 2025 di Amerika Syarikat pada awal Ogos ini.
Komen
Dengan menghantar komen, anda setuju dengan terma pengunaan AmanzMe.