LUMUT: Kesejahteraan ekonomi negeri ini mengubah hidup Mohammad Faizol Kamarudin, 37, menerusi perniagaan kimpalan besi, pendawaian elektrik dan utiliti air di Taman Maju, Sitiawan di sini.
Berkongsi kisah, pemuda itu memberitahu berdepan kesukaran selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Jelutong, George Town, Pulau Pinang pada tahun 2020, menyebabkan dia mengalami kecederaan serius pada lutut kiri.
Akibat kemalangan itu, dia yang menetap di Pulau Pinang ketika itu tidak boleh melakukan kerja-kerja fizikal yang berat untuk menyara isteri dan tiga anaknya.
Dia kemudian berpindah ke Lumut kerana mendapati kemakmuran ekonomi negeri ini selain peluang perniagaan yang luas dan membuka perniagaan kimpalan besi.
“Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) memberi berpeluang kepada saya meningkatkan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berkaitan kimpalan besi oleh sebuah pusat penyedia latihan di negeri ini.
“Kursus selama 14 hari itu memberi pendedahan mengenai mesin simulasi kimpalan berteknologi tinggi dengankecerdasan buatan (AI) yang menghasilkan produk besi secara maya membantu bagi mengurangkan kesilapan sehingga 50 peratus hasil fizikal.
“Saya dapat mempelajari sudut, kelajuan, ketepatan dan meningkatkan kemahiran selain belajar dalam persekitaran yang selamat serta bebas risiko kecederaan sebelum membuka perniagaan di sini,” katanya.
Pencapaian Mohammad Faizol menepati pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah niche daerah Manjung sebagai Hab Maritim dan Pelabuhan Nusantara dengan fokus utama terminal maritim, perindustrian, perniagaan, perkhidmatan dan pertanian apabila daerah ini juga sebahagian dari Koridor TVET Malaysia.
Bantuan itu juga selaras dengan flagship keempat Perak Sejahtera 2030 iaitu Koridor TVET Malaysia dan flagship kelima iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan.
Menurut Mohammad Faizol, pertumbuhan dan kerancakan sektor perumahan dan industri menyebabkan permintaan tinggi terhadap kerja-kerja berkaitan kimpalan besi, pendawaian elektrik dan utiliti air membolehkan dia pernah memperoleh pendapatan sehingga RM8,000 sebulan.
“Kini saya mampu menyewa sebahagian lot kedai di Lumut dengan sewa RM300 sebulan untuk dijadikan lokasi meletakkan jentera dan mesin perniagaan bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya.
Katanya, kursus kemahiran TVET berkaitan kimpalan besi yang diikutinya menjadikan kerja-kerja kimpalan bertambah kemas, tahan lebih lama dan berkualiti yang mengurangkan kos bahan selain mendapat respons positif pelanggan.
“Saya juga mahu mempelbagaikan lagi perkhidmatan selain ingin terlibat dalam projek berimpak tinggi iaitu Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) dan Taman Industri Halal Perak@Lekir (Perak HIP),” katanya. – UTUSAN