Kilang Pemasangan EV Proton Mula Beroperasi Di Tanjung Malim
Ikhwan Nazri
Tepat pada waktunya, selepas 7 bulan Proton mengumumkan kilang pemasangan EV mereka di Tanjung Malim, hari ini Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim telah melancarkan fasa pertama kilang pemasangan EV yang kini siap dan sedia untuk memulakan operasi. Apa yang lebih membanggakan lagi, ini juga merupakan kilang EV pertama di Malaysia.

Untuk fasa pertama, kilang ini dapat mengeluarkan sehingga 20,000 unit kenderaan elektrik, dan bergantung pada sambutan serta permintaan, fasa seterusnya membolehkan pemasangan ditingkatkan sehingga 40,000 unit setahun. Kilang ini juga akan membangunkan kereta-kereta yang menggunakan senibina GMA (Global Modular Architecture) justeru kita bakal melihat Proton e.MAS 7, e.MAS 5 dan mungkin lebih banyak model baharu yang akan lahir dari kilang ini.


Proton e.MAS 7 dan e.MAS 5 juga akan mula dipasang di kilang ini, dalam membolehkan ia dijual dengan harga lebih murah mengambil manfaat pemasangan tempatan (CKD). Proton e.MAS 7 merupakan kenderaan elektrik yang mengungguli pasaran, manakala Proton e.MAS 5 hanya menunggu waktu untuk ia mula dijual. Dengan kilang EV ini, pastinya pengeluaran dapat dirancakkan lagi dan akan memberikan impak ekonomi dan juga pembangunan teknologi di sekitar Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV).


Dalam berita lain, Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM turut berkongsi yang mana Proton juga dalam proses membangunkan kereta mereka tersendiri, dan akan diperkenalkan kelak. Malah di majlis yang sama juga perjanjian persefahaman dimeterai antara AHTV dan KTM serta Railway Assets Corporation bagi mengkaji pengangkutan keretapi sebagai solusi logistik automotif yang melibatkan stesen keretapi Behrang.

Komen
Sila log masuk untuk menghantar komen.