Malaysia Oversight

Kibar bendera: Niat lebih penting daripada kesilapan

By MkiniBM in August 22, 2025 – Reading time 2 minute
Kibar bendera: Niat lebih penting daripada kesilapan


Insiden bendera terbalik mungkin mencetuskan kekecohan di semenanjung, tetapi Masidi Manjun berkata kesilapan seperti itu tidak seharusnya mematahkan semangat rakyat Sabah untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera negeri pada Bulan Kebangsaan dan Hari Sabah tahun ini.

Menteri Kewangan negeri yang mempengerusikan jawatankuasa penganjur sambutan 31 Ogos di Kota Kinabalu itu menegaskan patriotisme adalah mengenai niat, bukan kesempurnaan teknikal.

“Manusia tidak sempurna. Kadang-kadang kita melakukan kesilapan. Saya fikir kita harus mengabaikan kesilapan kecil itu dan melihat gambaran yang lebih besar. Niat harus lebih penting daripada kesilapan,” katanya kepada pemberita ketika merasmikan program negeri itu.

Masidi berkata, mengibarkan bendera tidak seharusnya menjadi punca ketakutan atau keraguan hanya kerana kontroversi baru-baru ini.

“…Kita hanya perlu berkata, ajar mereka cara menaikkan bendera dengan baik. Tetapi kita tidak sepatutnya besar-besarkan kesilapan yang tidak disengajakan,” katanya.

Malah katanya, AS yang sudah lebih 200 tahun merdeka masih menyaksikan kesilapan serupa daripada rakyatnya.

“Ia adalah sifat manusia. Kadang-kadang kita hanya membuat kesilapan yang tidak disengajakan,” tambahnya.

Kes Jalur Gemilang terbalik baru-baru ini di Johor, Pulau Pinang dan tempat lain telah menyebabkan penutupan perniagaan, penahanan dan siasatan polis.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengesahkan enam kes di seluruh negara, manakala beberapa kumpulan menuntut hukuman yang lebih berat. Pihak lain menggesa orang ramai bertenang dan menekankan pendidikan mengenai etika mengibar bendera.

Masidi turut menggesa rakyat Sabah untuk terus menaikkan bendera dengan bangga.

Menteri itu juga berkata semangat yang lebih kuat dapat dilihat di bandar kecil dan kawasan luar bandar, dengan kebanyakan rumah sering mempamerkan bendera.

“Saya harap kita di Malaysia mempunyai semangat yang sama. Saya tahu negara ini tidak sempurna, negeri tidak sempurna, tetapi sikap kita sendiri yang menentukan siapa kita. Teruskan kibarkan bendera. Sekali dalam 365 hari, berikan kepada negara anda, berikan kepada negeri anda. Hanya satu hari daripada 365 hari. Lakukannya,” katanya.

Sambutan Sabah akan merangkumi perarakan pagi dan malam perayaan Hari Sabah di Kota Kinabalu, yang antara lain menampilkan konvoi Kementerian Pertahanan, persembahan kebudayaan di Padang Merdeka, dan penyertaan 31 organisasi dan hampir 60 motosikal.

Masidi juga mengingatkan rakyat Sabah bahawa kemerdekaan negeri itu pada 31 Ogos 1963, terikat secara langsung dengan pembentukan Malaysia.

“Ramai orang tidak faham bahawa Sabah mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1963. Semasa perbincangan mengenai pembangunan Malaysia, kita merancang untuk kemerdekaan Sabah jatuh pada hari yang sama, kerana untuk mewujudkan negara ini, Sabah memerlukan kemerdekaan,” katanya.

“Sabah adalah peringatan bahawa Malaysia adalah tempat perkongsian … Sabah, Sarawak, Malaysia dan Singapura. Sabah bukan negara lain,” katanya.



Source link