Penganjur acara solidariti Palestin di Kelantan yang pada 10 Okt lalu memohon maaf berhubung insiden bendera Israel dikibarkan ketika program tersebut.
Jurucakap Pertubuhan Anak Muda Bangkit Malaysia, Khairul Hafiz Hassan berkata dia akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan yang dijalankan berhubung kejadian itu.
“Saya memohon maaf sekiranya ada mana-mana pihak yang salah faham berhubung gimik persembahan pada hari kejadian.
“Saya juga bertanggungjawab di atas penganjuran ini,” katanya dalam hantaran di TikTok, seperti dipetik Sinar Harian.
Menurut Khairul Hafiz, himpunan itu, yang diadakan buat kali ketiga, dianjurkan hasil sumbangan orang ramai dan tidak melibatkan dana atau sumbangan daripada kerajaan negeri mahupun mana-mana parti politik.

Program 500 Pelayaran Solidariti Kelantan untuk Gaza itu dianjurkan bersama oleh Komuniti Floating Market Sri Tanjung dan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menarik lebih 10,000 penyertaan, termasuk pemilik bot dan orang awam.
Namun, beberapa rakaman video yang tular di media sosial menunjukkan beberapa bot mengibarkan bendera Israel.
Penganjur kemudian menjelaskan ia merupakan sebahagian daripada gimik bagi menggambarkan ancaman yang dihadapi sukarelawan Global Sumud Flotilla daripada pihak berkuasa Israel pada 2 Okt, dan tiada niat untuk menyinggung mana-mana pihak.
Ketua Polis Kelantan Mohd Yusuff Mamat sebelum ini berkata perkara itu akan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 dan polis akan merakam keterangan penganjur dalam masa terdekat.






