Khutbah Jumaat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) hari ini memberi penekanan supaya masyarakat tidak terjebak dengan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.
Dalam teks khutbah bertajuk “Amanah dan integriti: Tiang negara”, mimbar berpesan betapa setiap tugas yang dipikul bukan sekadar pekerjaan, tetapi amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat kelak.
“Dalam melaksanakan tanggungjawab yang diberi, integriti merupakan teras penting kepada setiap perkhidmatan yang dilaksanakan. Ia berperanan sebagai benteng daripada sebarang kerosakan seperti rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya.
“Islam sendiri cukup tegas berhubung soal integriti apabila Allah SWT mengingatkan kita supaya tidak mengkhianati amanah yang telah dipertanggungjawabkan,” katanya.
Mimbar antara lain memetik firman Allah daripada Surah an-Nisaa’ ayat 58 yang antaranya menyeru umat Islam menyerahkan amanah kepada ahlinya.
Sidang jemaah turut diingatkan bahawa Islam juga menuntut umatnya untuk melaksanakan sesuatu pekerjaan dengan tekun dan bersungguh-sungguh kerana setiap pekerjaan akan dipersoalkan.
“Apabila seseorang melaksanakan tugasnya dengan bersungguh-sungguh kerana mengharap pahala daripada Allah, maka dia telah menunaikan kewajipannya dengan sempurna.
“Dia berhak menerima ganjaran atas kerjanya di dunia, dan lebih beruntung lagi kerana akan mendapat pahala di akhirat. Inilah ciri-ciri orang beriman yang dijanjikan syurga Firdaus,” katanya lagi.
Selain itu jelasnya, untuk menghidupkan nilai tanggungjawab dan integriti, kita mesti, pertama, menetapkan niat bekerja kerana Allah.
“Kedua, mengutamakan kepentingan umum berbanding kepentingan peribadi. Ketiga, menunaikan tugasan dengan penuh disiplin dan tepat masa.
“Keempat, menolak sebarang bentuk penyelewengan. Kita juga dituntut untuk mempererat kerjasama rentas agensi yang menjadi kunci keberkesanan dan keberhasilan dalam penyampaian perkhidmatan. Itulah kekuatan kita,” tegas mimbar.