Jika bekas banduan tak boleh berpolitik, kata Dr Mohamad Khir Toyo, ada orang yang lebih tidak layak untuk kembali berpolitik iaitu Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Membidas hujah sesetengah pihak yang tidak senang dengan tindakan terbarunya – iaitu meninggalkan Umno dan menyertai Bersatu – Mohamad Khir berkata tidak wajar mereka menggelarnya sebagai bekas banduan.
Kata bekas Menteri Besar Selangor itu, memang benar dia disabitkan bersalah oleh mahkamah dan sudah menjalani hukuman penjara seperti yang ditetapkan.
Pada masa sama, kata bekas Ketua Umno Sungai Besar itu lagi, dia menginsafi keterlanjuran yang dilakukan dulu.
Pada masa sama, Mohamad Khir berkata, dia “terkilan” apabila sikap yang berbeza diberi ke atas bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, yang sebelum ini juga pernah dipenjara oleh mahkamah berhubung pertuduhan mengikut Akta Hasutan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.
“Saya tahu, saya sedar telah melakukan kesilapan tanpa pengetahuan dengan membeli rumah lebih murah berbanding harga sebelumnya.
“Saya beli rumah yang belum siap renovasi dengan harga RM3.5 juta sedangkan rumah yang sama dibeli dengan harga RM5juta oleh pembeli sebelum saya.
“Saya telah lalui hukuman dan saya reda dengan apa berlaku. Sesal dulu pendapatan sesal kemudian tiada gunanya,” kata Mohamad Khir di media sosial petang tadi.
Tak ada mohon DNAA
Untuk rekod dihukum penjara 18 bulan pada 1998 atas kesalahan menerbitkan berita palsu dan bersifat hasutan terhadap Ketua Menteri Melaka ketika itu, Abdul Rahim Thamby Chik.
Dia kemudian dibebaskan pada 25 Ogos 1999 selepas menjalani hukuman tersebut selama 12 bulan.
Mohamad Khir pula dipenjara 12 bulan selepas Mahkamah Persekutuan – pada 29 Sept 2015 – mengekalkan keputusan terdahulu yang mendapati dia bersalah mendapatkan untuk diri sendiri dan isterinya dua lot tanah dan sebuah banglo di Seksyen 7, Shah Alam.
Kesalahan itu didakwa dilakukan lapan tahun sebelumnya.
Dia kemudian diberikan parol pada 29 Mac 2016.
Menurut Mohamad Khir apabila didakwa dan dibicarakan di mahkamah, dia tidak pun memohon untuk mendapatkan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) seperti beberapa ahli politik sekarang.
“Jika bekas banduan tidak boleh aktif semula dalam politik, perkara yang sama perlu dilakukan oleh PMX (Anwar)… dua kali banduan.
“Bagaimana pula dengan (Lim) Guan Eng? Dia juga bekas banduan?” katanya.

Dia yang mengejutkan ramai orang semasa dilantik sebagai menteri besar pada usia 35 tahun oleh Dr Mahathir Mohamad berpendapat, orang yang “taasub” kepada politik dan menuduhnya dengan bermacam dakwaan wajar berhati-hati.
“Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.
“Sebelum tulis tu fikir-fikir supaya bos yang awak agungkan itu tidak terasa hati seperti diperli oleh penyokong sendiri.
“Jangan sampai orang lain makan nangka orang lain kena getahnya,” katanya berkias.
Bagaimanapun Mohamad Khir tidak menyatakan kepada siapa kata-kata itu ditujukan.
Sementara itu, dalam hantaran sama, Mohamad Khir turut menafikan yang dia pernah melobi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi untuk menjadi calon dalam pilihan raya lalu.
Sebaliknya dakwa Mohmad Khir, dia sering menemani Ahmad Zahid atas dasar seorang sahabat yang berasa sedih melihat Ahli Parlimen Bagan Datuk itu kesesorangan.
“Saya tak pernah meminta kepada Zahid untuk jadi calon. Sebab itu saya terus sokong Umno,” katanya lagi.