Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail menegaskan pemain bola sepak Malaysia yang dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) memperoleh kewarganegaraan selepas melalui proses tapisan rapi.
“Dalam kes ini, kesemuanya kita comply (patuh) ketika membuat keputusan tersebut. Setelah kita menerima permohonan dan kita melakukan proses mengikut peraturan, tertib dan peruntukan undang-undang…
“Jadi, itu bahagian kamilah (KDN),” katanya pada satu video yang dimuat naik di Facebook.
Semalam, Fifa mengumumkan hukuman terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain kerana melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib Fifa (FDC) berkaitan pemalsuan dan penipuan dokumen.
“FAM telah menghantar pertanyaan kelayakan kepada Fifa dan dalam proses itu, ia menggunakan dokumen yang dipalsukan untuk membolehkan pemain berkenaan diturunkan,” kata jawatankuasa tatatertib badan induk bola sepak dunia itu.
Fifa turut menetapkan bahawa FAM perlu membayar denda sebanyak 350,000 franc Swiss (RM1.9 juta) manakala setiap tujuh pemain dikenakan denda 2,000 franc Swiss.
Mereka ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano – yang turut digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak berkuat kuasa serta-merta.
Pemangku presiden FAM, Yusoff Mahadi berkata dia akan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Proses terperinci
Sementara itu, Saifuddin menjelaskan bagi permohonan kewarganegaraan melalui naturalisasi, pemohon mesti membuat permohonan di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, di bawah klausa ini, antara pertimbangan yang diberikan kepada pemohon ialah sama ada ibu bapa, datuk nenek, atau nenek moyang mereka berasal dari Malaysia.
“Proses pemberian warganegara ini adalah satu proses yang sangan teliti…
“KSU (ketua setiausaha kementerian) akan ketuai peringkat jawatankuasanya…semua teliti..kita teliti kesemua dokumen yang dikemukakan…seperti mana yang diperlukan oleh undang-undang,” katanya.
“Soal Fifa mengambil Keputusan terhadap FAM, itu urusan Fifa dengan FAM,” jelas menteri itu.






