Malaysia Oversight

Ketua Umno Padang Serai lapor polis akaun Tik Tok palsu

By MkiniBM in September 2, 2025 – Reading time 1 minute
Ketua Umno Padang Serai lapor polis akaun Tik Tok palsu


Ketua Bahagian Padang Serai Datuk Asmadi Abu Talib membuat laporan polis mendakwa identitinya digunakan dalam dua akaun TikTok palsu bagi tujuan penipuan kewangan.

Timbalan Ketua Polis Kedah DCP Baderulhisham Baharudin yang mengesahkan perkara itu, berkata ahli politik tersebut membuat laporan pada 12 tengah hari semalam.

“Mangsa dimaklumkan kewujudan dua akaun TikTok menggunakan namanya, gambar dan mencipta suara penyamaran dipercayai dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) kira-kira 10.30 malam Ahad lepas.

“Dua akaun itu diwujudkan pihak tidak bertanggungjawab dengan tujuan untuk penipuan kewangan. Kandungan yang dimuat naik juga boleh memberi persepsi salah kepada masyarakat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baderulhisham berkata mangsa risau akaun itu digunakan untuk memperdaya orang ramai dalam urusan bantuan kewangan kerana sebagai seorang pemimpin politik, penyalahgunaan identiti itu boleh menyebabkan penipuan berlaku.

Beliau menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada dengan penipuan dalam talian menjanjikan bantuan kewangan dan tidak mudah terperdaya dengan pujukan serta rayuan melalui video melibatkan ahli politik atau selebriti.

– Bernama



Source link