PUTRAJAYA: Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh Prof Dr Muhammad Yunus akan melakukan lawatan rasmi ke Malaysia mulai Isnin hingga Rabu (11 hingga 13 Ogos 2025) atas jemputan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam kenyataan pada Ahad, Kementerian Luar Malaysia memaklumkan lawatan itu adalah lawatan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke Bangladesh pada Oktober 2024, dan Yunus akan diiringi beberapa penasihat serta pegawai kanan kerajaan.
Kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra, berkata Yunus akan diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra pada 12 Ogos, diikuti mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri.
“Kedua-dua pemimpin dijangka menilai kemajuan hubungan Malaysia-Bangladesh, khususnya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, tenaga kerja, pendidikan, pelancongan dan pertahanan.
“Perbincangan turut meliputi perkembangan serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama,” menurut kenyataan itu.
Kedua-dua pemimpin turut akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang pertahanan, tenaga, kajian strategik dan antarabangsa, pembangunan kapasiti dalam bidang semikonduktor, dan promosi perdagangan selain pertukaran Nota Diplomatik dalam bidang latihan diplomatik dan pendidikan tinggi.
Perdana Menteri juga akan menghoskan Majlis Jamuan Tengah Hari Rasmi buat Ketua Penasihat dan delegasi di Kompleks Seri Perdana.
Pada Rabu (13 Ogos), Yunus dijadual menyampaikan syarahan umum dan akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dalam Perniagaan Sosial oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau juga akan mengadakan sesi dengan ahli komuniti Pusat Perniagaan Sosial Yunus dan Rangkaian Universiti, dalam program anjuran bersama UKM.
Pada tahun 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Bangladesh mencecah RM13.35 bilion (US$2.92 bilion), peningkatan sebanyak 5.1 peratus berbanding 2023.
Bangladesh merupakan rakan dagang dan destinasi eksport kedua terbesar Malaysia di Asia Selatan.
Eksport utama merangkumi produk petroleum, minyak sawit dan bahan kimia, manakala import dari Bangladesh terdiri daripada tekstil dan pakaian, produk petroleum dan barangan pembuatan.
Lawatan ini dijangka dapat mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan merangsang kerjasama yang lebih erat dalam bidang yang membawa manfaat bersama, berdasarkan kepada asas kukuh yang telah dibina sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1972 -.Bernama