Malaysia Oversight

Ketua jabatan diminta pantau hutang penjawat awam

By MkiniBM in November 6, 2025 – Reading time 1 minute
Ketua jabatan diminta pantau hutang penjawat awam


Ketua jabatan Persekutuan dan negeri perlu memberi perhatian terhadap hutang ditanggung pegawai di bawah seliaan mereka, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.

Beliau berkata ia bagi mengelakkan penjawat awam terjerumus dalam masalah keterhutangan tinggi melebihi kemampuan untuk membuat bayaran balik.

“Semua ketua jabatan diingatkan supaya memberi perhatian serius kepada perkara ini kerana kita tidak mahu penjawat awam menanggung hutang yang besar hingga menyebabkan mereka hilang tumpuan kepada kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perjumpaan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bersama Pegawai Awam Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di Melaka hari ini.

Turut hadri Setiausaha Negeri Melaka Datuk Azhar Arshad.

Media sebelum ini melaporkan beberapa individu termasuk pegawai bank ditahan menerusi Ops Sky, iaitu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan syarikat perunding kewangan yang dilaksanakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sindiket berkenaan dikatakan menawarkan khidmat perunding kewangan kepada penjawat awam melalui media sosial selain menganjurkan jelajah ke beberapa jabatan dan kementerian.

Wan Ahmad Dahlan berkata telah menggariskan peraturan tertentu kepada penjawat awam berkaitan hutang dan ia perlu dipatuhi.

“Dari segi peraturannya telah sedia ada dan bagi kes yang dinyatakan tadi (Ops Sky), kita serahkan kepada pihak berkaitan kerana ia telah menjadi satu perkara yang dibawa ke mahkamah,” katanya.

– Bernama



Source link