Ketua Bersatu Tasek Gelugor, Azmi Alang menggesa pimpinan parti untuk memecat Wan Saiful Wan Jan susulan kenyataan yang disifatkannya sebagai menjatuhkan maruah dan menjejaskan kewibawaan perjuangan parti.
Azmi mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Wan Saiful yang merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dalam sidang media tengah hari tadi, yang menurutnya “biadab dan tidak bertanggungjawab”.
“Kita tidak boleh lagi berdiam diri dan membiarkan individu seperti ini terus merosakkan imej parti.
“Saya mendesak pucuk pimpinan parti mengambil tindakan tegas, termasuklah memecatnya, demi menjaga integriti, disiplin dan maruah perjuangan kita.
“Tingkah lakunya hanya menjadi beban kepada parti, mengalihkan perhatian daripada isu-isu rakyat yang jauh lebih penting,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Wan Saiful menafikan ada gerakan untuk menyingkirkan Muhyiddin Yassin daripada jawatan presiden Bersatu, sebaliknya menjelaskan akuan berkanun (SD) yang ditandatangani 120 ketua bahagian parti sebenarnya untuk menyatakan sokongan terhadap pelan peralihan kuasa yang dipersetujui tahun lalu.
Wan Saiful turut mendakwa wujud salah laku membabitkan dua pemimpin parti, Azmin Ali dan Tun Faisal Ismail Aziz, termasuk ugutan fizikal serta perang siber.
Menyasarkan Azmin, Wan Saiful malah berkata hubungannya dengan setiausaha agung Bersatu itu “kejap panas, kejap sejuk” sejak tahun lalu, dipercayai berkaitan skandal video pada 2019 yang mengaitkan bekas timbalan presiden PKR itu.
“…Saya nyatakan pandangan kepada beberapa orang bahawa selagi isu ‘video songsang’ ini tidak diselesaikan, Azmin tidak layak jadi pemimpin Bersatu,” kata Wan Saiful.
Sementara itu, Azmi menggesa pemimpin Bersatu agar berani mengambil tindakan terhadap Wan Saiful kerana tindakannya hanya akan melemahkan parti.
“Kita mesti berani membuat keputusan yang tepat, walaupun pahit. Pemimpin yang gagal menunjukkan akhlak, disiplin dan kesetiaan kepada perjuangan bukan sahaja melemahkan semangat akar umbi, malah memberi peluru kepada pihak lawan untuk menyerang kita.
“Demi kelangsungan parti dan keyakinan rakyat, tindakan tegas termasuk pemecatan adalah satu-satunya jalan keluar,” katanya lagi.






