Ketua Bersatu Pahang, Abdul Khalib Abdullah menafikan khabar angin mendakwa dia akan meninggalkan parti itu dan menyertai PAS.
Abdul Khalib yang juga ahli parlimen Rompin berkata dakwaan itu sengaja ditimbulkan untuk mencetuskan persepsi tidak baik dan mahu merosakkan hubungan rapat antara Bersatu dan PAS Pahang.
Menurutnya, khabar angin itu berpunca daripada ucapannya yang telah disalah petik dan kemudian disensasikan.
“Dari situ mereka buat andaian saya nak tinggalkan Bersatu dan masuk PAS, sedangkan nada saya gunakan hanyalah secara berseloroh,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
“Tak ada isu saya nak tinggalkan parti. Bersatu Pahang berada dalam keadaan aman dan damai,” katanya lagi.
Abdul Khalib mengulas berkaitan hantaran dibuat akaun Facebook Pahangku Media yang merujuk kepada petikan ucapan Abdul Khalib ketika program ceramah sambutan ulang tahun 40 tahun PAS Rompin pada Jumaat lalu.
Dalam hantaran itu, Abdul Khalib didakwa sedang mencari jalan selamat selepas Bersatu Pahang semakin lemah, dengan berdepan masalah kewangan, ketiadaan jentera dan sokongan akar umbi.
Halaman itu turut menyiarkan petikan ucapan Abdul Khalib, yang antaranya berkata: “Biasalah mesyuarat Bersatu kadang-kadang begini, mesyuarat PAS (pula) macam ni. Tetapi tiada masalah datuk (berpaling ke arah Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah)…Saya kalau susah sangat, saya masuk PAS.”
Mengulas lanjut, Abdul Khalib berkata PAS dan Bersatu kini sibuk mengatur strategi untuk menang di negeri itu pada PRU akan datang.
“Kita (PN Pahang) sudah empat kali bermesyuarat dan sekarang fokus untuk bersama PAS menjayakan program Hogoh Jelai 30K.
“Kalau saya nak tinggalkan parti, mungkin saya kata nak masuk Umno, itu barulah betul.
“Tapi kita kekal setia bersama PAS dalam komponen PN, tak patut timbul pun soal lompat parti,” katanya lagi.






