Insiden kesilapan profil Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail dalam akhbar Sinar Harian perlu diselesaikan dengan pendekatan konstruktif, bukannya tindakan bersifat menghukum, kata Majlis Media Malaysia (MMM).
Badan itu turut berpandangan pendekatan menghukum menerusi undang-undang hanya akan melemahkan kebebasan media.
“Jalan penyelesaian terhadap kewartawanan yang cacat adalah melalui kewartawanan yang lebih baik, bukan melalui intimidasi atau penindasan.
“Walaupun organisasi media mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan secara tepat dan beretika, penting juga sebarang kesilapan ditangani secara membina dan dalam kerangka yang sewajarnya,” menurut MMM menerusi kenyataan dikeluarkan lembaga pengasas badan itu hari ini.
Baru-baru ini, Sinar Harian menerbitkan infografik biodata Mohd Khalid yang menyatakan dia pernah memegang jawatan tinggi dalam PKR. Bagaimanapun akhbar berkenaan telah menarik balik infografik itu dan membuat permohonan maaf secara terbuka.
Dalam kes itu, MMM berkata, Sinar Harian telah meminta maaf selain memohon untuk bertemu dengan Mohd Khalid dan pegawai tertinggi polis itu bersetuju hadir.
MMM berkata, kesilapan – walaupun tidak diingini – boleh berlaku dalam mana-mana profesion.
“Apa yang lebih penting ialah bagaimana kesilapan tersebut ditangani. Media, dalam hal ini, harus bertindak balas dengan ketelusan, rendah hati dan iltizam untuk memperbaiki kelemahan,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, walaupun MMM belum berfungsi secara rasmi, situasi itu mengukuhkan keperluan untuk mengangkat nilai-nilai asas kewartawanan yang bertanggungjawab dan kepentingan semakan fakta khususnya apabila melaporkan mengenai institusi penting negara.
“MMM komited untuk mewujudkan persekitaran media yang menghormati kebebasan bersuara dalam batas kewartawanan yang profesional, bertanggungjawab dan beretika,” menurut kenyataan itu.
MMM yang ditubuhkan di bawah Akta MMM 2025 berkuat kuasa pada 14 Jun lalu.
Lembaga Pengasas MMM terdiri daripada 12 anggota terdiri daripada empat wakil bagi setiap kategori iaitu wakil syarikat media, persatuan media, pengamal media dan pengamal media bebas serta ahli bukan media.
– Bernama