Ketika pilihan raya negeri (PRN) semakin hampir, kedudukan seorang ahli politik kanan di Sabah menimbulkan persoalan besar tentang keberkesanan undang-undang antilompat parti negara.
Timbalan Ketua Menteri III, Shahelmey Yahaya, merupakan Ahli Parlimen Putatan Adun Tanjung Keramat. Kedua-dua kerusi itu dimenangi atas tiket BN.
Namun, keanggotaannya dalam Umno digantung selepas memilih untuk kekal menyokong Ketua Menteri Sabah, Hajiji Noor, berbanding mengikut arahan Pengerusi BN Sabah, Bung Moktar Radin, dalam perebutan kuasa pada awal 2023.
Ahad lalu, Hajiji memberi isyarat bahawa dalam PRN tidak lama lagi, Shahelmey akan bertanding atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS)
Bercakap di Putatan pada Ahad, Hajiji menyatakan bahawa Shahelmey akan “ikut siurang (ikut kami)” apabila ditanya tentang masa depan ahli politik terbabit.
Melalui sistem pilihan raya semasa, Shahelmey tidak perlu menyertai GRS untuk bertanding menggunakan logo parti itu.
Terdapat duluan bagi perkara ini, seperti ketika seluruh calon parti komponen PH menggunakan logo PKR dalam PRU 2018.
Itulah laluan yang paling mungkin dipilih oleh Shahelmey sekiranya dia mahu kekal sebagai Ahli Parlimen Putatan dan sebahagian daripada pasukan Hajiji tanpa perlu berhadapan pertandingan dalaman.
Bagaimanapun bertanding menggunakan lambang parti lain tanpa kebenaran parti sendiri biasanya dianggap kesalahan disiplin yang boleh membawa kepada pemecatan.

Namun, mengikut undang-undang antilompat parti, seseorang wakil rakyat yang dipecat partinya tetap boleh mengekalkan kerusinya.
Beberapa parti termasuk Umno dan Bersatu kemudian telah memasukkan peraturan parti yang menetapkan bahawa ahli yang ingkar kepada arahan dianggap “meletak jawatan” daripada parti, bukan dipecat.
Namun, Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul menetapkan duluan bahawa undang-undang antilompat parti tidak terpakai untuk enam ahli parlimen Bersatu yang memilih untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Jika perkara ini terpakai untuk kes Shahelmey – dengan andaian dia bertanding atas tiket GRS nanti – maka kelompongan undang-undang antilompat parti akan terserlah.
Sokong kerajaan sekarang
Hal itu kerana seseorang wakil rakyat boleh memilih untuk ‘melawan’ atau mengingkari arahan parti sehinggalah mereka dipecat.
Terdapat juga hujah bahawa jika Shahelmey bertanding dengan tiket GRS, kes itu berbeza daripada enam ahli parlimen Bersatu itu kerana mereka sekadar menukar sokongan kepada seorang perdana menteri.
Pada pandangan berkenaan, langkah Shahelmey adalah bentuk lompat parti yang lebih nyata.
Jika Johari memutuskan sedemikian dan membatalkan kelayakan Ahli Parlimen Putatan berkenaan, maka pilihan raya kecil perlu diadakan bagi kerusi Parlimen tersebut.
Keputusan seperti itu berkemungkinan hanya akan dibuat selepas hari penamaan calon PRN Sabah – untuk mengesahkan pendirian Shahelmey – yang bermaksud pilihan raya kecil di Putatan berpotensi diadakan pada tarikh kemudian..
Apabila didesak mengulas mengenai perkara itu pada Ahad, Shahelmey tidak menafikan kenyataan Hajiji bahawa dia akan bertanding di bawah GRS.
Pada masa sama Shahelmey menegaskan bahawa dia masih bersama Umno.
“Saya anggap kenyataan ketua menteri itu sebagai sesuatu yang memberangsangkan kerana selama ini saya menyokong kerajaan GRS–PH Plus Sabah yang ada sekarang,” katanya.
Shahelmey juga berkata Hajiji mungkin hanya bergurau dengan wartawan ketika membuat kenyataan siurang itu, sambil menambah: “Sebab itu kami ketawa selepas beliau mengatakannya.”
Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi pada Mei lalu berkata bahawa Shahelmey masih digantung, dan kepimpinan BN Sabah yang akan membuat keputusan mengenai calon yang akan diketengahkan dalam mereka semasa PRN nanti.
Bung Moktar pula sudah menamakan Ketua Umno Putatan, Jeffrey Nor Mohamed, sebagai calon parti itu untuk menggantikan Shahelmey di Tanjung Keramat.