Malaysia Oversight

Kesedaran rakyat terhadap penipuan kewangan meningkat

By Utusan in August 6, 2025 – Reading time 2 minute
Kesedaran rakyat terhadap penipuan kewangan meningkat


PETALING JAYA: Tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap penipuan kewangan menunjukkan peningkatan apabila 9 daripada 10 mengakui mereka membaca amaran penipuan yang dikeluarkan bank, kata persatuan bank.

Hasil tinjaun tahunan ketiga yang dijalankan oleh Persatuan Bank-bank dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan Malaysia (AIBIM) mendapati usaha berterusan industri perbankan menerusi kempen #JanganKenaScam memberi impak positif.

Pengerusi ABM, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, peningkatan tahap kesedaran ini menunjukkan langkah mendidik pengguna semakin berkesan, namun tindakan pantas masih menjadi cabaran utama.

Scammer sering memanipulasi rasa takut dan tergesa-gesa mangsa untuk memintas pertimbangan rasional. Bank bukan sekadar mendidik, tetapi membantu pelanggan kekal tenang dan membuat keputusan bijak,” katanya dalam kenyataan. 

Menurut tinjauan itu, 92 peratus responden menyedari risiko memuat turun fail APK yang tidak diminta, manakala 79 peratus mengelakkan daripada menekan pautan dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) atau emel yang mendakwa daripada bank. 

Sebanyak 85 peratus pula berjaya mengenal pasti mesej SMS palsu dengan betul, menunjukkan peningkatan celik digital dan kefahaman terhadap taktik penipuan semasa.

Selain itu, 82 peratus responden menyatakan mereka akan segera menghubungi talian hotline bank 24 jam atau menyahaktifkan kad sekiranya berdepan kompromi keselamatan.

Sebanyak 77 peratus juga akan menyahaktif atau membekukan kad mereka melalui ciri-ciri perbankan atas talian atau mudah alih sebagai langkah awal keselamatan.

Sementara itu, Presiden AIBIM, Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata, usaha kesedaran menunjukkan hasil positif tetapi menegaskan pendekatan tidak boleh kendur memandangkan scammer sentiasa berubah taktik.

“Matlamat kami bukan sekadar memberi maklumat, tetapi membekalkan naluri dan alat praktikal agar rakyat bersedia bertindak dengan yakin dalam saat tidak pasti. 

“Bagaimanapun, masih terdapat ruang penambahbaikan, terutamanya dari segi pengetahuan tindakan selepas cubaan penipuan,” katanya. – UTUSAN





Source link