Bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad sekali lagi membangkitkan keraguan terhadap kesahihan pengampunan diraja yang diberikan kepada Anwar Ibrahim, meskipun dia sendiri yang menandatanganinya ketika menjadi perdana menteri.
Mengulas tindakan undang-undang oleh bekas menteri perpaduan P Waythamoorthy berhubung pengampunan itu, Mahathir berkata perkara berkenaan perlu diputuskan.
“Saya sudah baca tentang pengampunan Anwar, (nampaknya) ada keraguan.
“Saya rasa perkara itu perlu diputuskan. Jika didapati dia tidak layak, maka sudah tentu dia perlu berundur dan tidak menjadi Perdana Menteri,” katanya ketika ditemui pemberita di Mahkamah Shah Alam hari ini.
Mahathir hadir ke mahkamah bagi pengurusan kes saman RM150 juta yang difailkan terhadap Anwar, dengan pesuruhjaya kehakiman Donald Joseph Franklin menetapkan tarikh perbicaraan pada 21, 23 dan 29 Okt ini.
Pada 12 Ogos lalu, Waythamoorthy memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa pembatalan kelayakan Anwar sebagai anggota Parlimen “tidak pernah dibatalkan” sebagai sebahagian daripada pengampunan diraja.

Dia mendakwa pengampunan Anwar tidak mengandungi pembatalan jelas terhadap kehilangan kelayakan berdasarkan Perkara 48(1)(e) yang dibaca bersama Perkara 48(3) Perlembagaan Persekutuan, dan Anwar telah memberi gambaran salah serta mengelirukan bekas Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, dalam pelantikannya sebagai perdana menteri.
Perkara 48(1)(e) menyatakan individu yang dihukum penjara lebih setahun atau denda lebih RM1,000 hilang kelayakan sebagai anggota Parlimen, manakala Perkara 48(3) menetapkan bahawa larangan itu kekal selama lima tahun selepas dibebaskan kecuali jika ia ditarik balik oleh Yang di-Pertuan Agong.
Dengan mendakwa isu itu telah melemahkan peranan Perlembagaan Persekutuan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong, Waythamoorthy turut memohon mahkamah mengisytiharkan kemenangan Anwar di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 pada 19 Nov 2022, serta pelantikannya sebagai perdana menteri pada 24 Nov, adalah batal dan tidak sah.
Pengampunan penuh diberikan kepada oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Muhammad V pada Mei 2018, dengan Mahathir menandatangani dokumen tersebut.
Lima bulan kemudian – ketika Waythamoorthy berada dalam kabinet – Anwar bertanding dan menang dalam pilihan raya kecil di Port Dickson.
Pada Jun tahun ini, Mahathir pernah membangkitkan keraguan sama ada pengampunan tersebut mengikut prosedur atau tidak, dengan mendakwa dia hanya diberikan surat ditandatangani Agong untuk membenarkan pembebasan Anwar pada 2018, dan tiada mesyuarat Lembaga Pengampunan diadakan berhubung perkara itu.
Bagaimanapun, Jabatan Peguam Negara (AGC) kemudian menjelaskan bahawa Mahathir hadir mesyuarat Lembaga Pengampunan pada Mei 2018, yang dipengerusikan Sultan Muhammad V, sebelum Anwar diberikan pengampunan.
Mahathir selepas itu berkata penjelasan AGC telah membuktikan bahawa dia mengikut prosedur dalam pembebasan Anwar daripada penjara.
Tidak wajar silap
Mengulas reaksi Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh berkaitan insiden kesilapan menggantung Jalur Gemilang di Pulau Pinang baru-baru ini, Dr Mahathir Mohamad berkata setiap rakyat Malaysia sepatutnya tahu cara mengibarkannya dengan betul.
“Rakyat tersinggung. Maksud saya, kita sudah merdeka lebih 60 tahun, dalam tempoh itu rakyat sepatutnya sudah kenal bendera.

“Tidak sepatutnya berlaku kesilapan seperti itu. Saya rasa ramai yang tersinggung (dan) bendera tidak wajar dikibarkan secara terbalik,” katanya lagi.
Pada Khamis lalu, Akmal bersama kira-kira 100 penunjuk perasaan termasuk anggota Pemuda Bersatu berhimpun di depan sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang bagi membantah tindakan pemilik kedai itu yang mengibar Jalur Gemilang secara terbalik.
Keesokannya, Akmal mendakwa dia dipanggil polis untuk memberikan keterangan berhubung siasatan yang sedang dijalankan. Bagaimanapun, dalam hantaran Facebooknya, dia tidak menyatakan butiran lanjut mengenai siasatan membabitkan dirinya.