Malaysia Oversight

Kes Zara: Tiada masalah dakwa remaja jika ada bukti

By MkiniBM in August 19, 2025 – Reading time 3 minute
Kes Zara: Tiada masalah dakwa remaja jika ada bukti


PARLIMEN | Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri hari ini berkata tidak seharusnya timbul “masalah” untuk mendakwa remaja yang dikaitkan dengan kes buli Zara Qairina Mahathir.

Nancy, yang juga pernah menjadi menteri undang-undang dari 2013 ke 2016, menjelaskan tujuan inkues untuk menyiasat perkara lain manakala keputusan mendakwa remaja yang terbabit dalam kes Zara dibuat berdasarkan bukti sedia ada.

“Bagi saya, tidak ada masalah, sebab (kes) yang dituduh,pihak pendakwaan, boleh berjalan bersama… sebab pendakwaan itu bergantung kepada apa yang telah didapati menjadi bukti sedia ada – mereka masih boleh meneruskannya.

“Selepas itu dengan inkues pun mereka masih boleh meneruskan inkues kemudian… kerana inkues itu mempunyai tujuan yang berbeza… jadi kalau ada pendakwaan yang bergantung kepada keterangan daripada inkues itu, maka mungkin ia akan melibatkan orang lain, atau melibatkan kesalahan-kesalahan lain…

e2cc325549b17d73aaf6470942f1a444

“Itulah bacaan saya mengenai undang-undang, kerana saya juga berminat dengan kes ini… jadi sebab itu saya ingin tahu sama ada ia boleh dilakukan secara bersama-sama,” katanya.

Kenyataan Nancy itu menjawab soalan Ketua Pemuda PN Afnan Hamimi Taib Azamudden (-Alor Setar), yang meminta pandangan menteri jika emaja terbabit dalam kes Zara patut tetap didakwa walaupun inkues masih belum bermula.

Katanya remaja itu mesti dilindungi dan menyuarakan kebimbangan bahawa langkah mendakwa itu mungkin terlalu awal, kerana ada kemungkinan pertuduhan tidak selari dengan dapatan inkues dan bedah siasat.

Terdahulu, ketua Pemuda itu turut mengemukakan lima cadangan pengurusan krisis kepada Kementerian Pendidikan, termasuk melantik seorang jurucakap tunggal; memberikan kemas kini berkala melalui pelbagai medium; serta mengumumkan langkah “tegas dan meyakinkan” terhadap kes buli.

48281bb37e52bc1b8cdf9b3510dc7816

Semalam, Peguam Negara Dusuki Mokhtar mengesahkan lima remaja akan didakwa di Mahkamah Juvana Kota Kinabalu pada Rabu (20 Ogos) kerana didakwa membuli pelajar Tingkatan Satu, Zara.

Dusuki menjelaskan remaja itu akan dituduh di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan, berkaitan kesalahan menggunakan atau mengeluarkan kata-kata atau komunikasi yang mengugut, menghina atau kasar dan bukannya kerana menyebabkan kematian Zara.

Jelasnya pertuduhan itu akan dibuat berdasarkan bukti hasil siasatan polis, sambil menambah bahawa ia tidak akan menjejaskan inkues, yang secara berasingan telah ditetapkan oleh Mahkamah Koroner untuk bermula pada 3 September.

Susulan itu, pasukan guaman yang mewakili keluarga Zara hari ini menggesa AGC supaya mendakwa lima remaja tersebut dengan pertuduhan lebih serius.

“Kami memohon agar Peguam Negara (Mohd Dusuki Mokhtar) dapat mempertimbangkan agar semua remaja berkenaan dituduh di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.

“Sekiranya keterangan yang ada tidak mencukupi untuk membuktikan sabitan bagi kesalahan di bawah seksyen 507D(2), kami berharap siasatan lanjut dapat diteruskan menjurus ke arah kesalahan tersebut dan pendakwaan ditangguh seketika,” kata pasukan peguam terbabit.

Namun, tambah mereka, jika keterangan yang ada dan hasil siasatan lanjut mencukupi untuk mendakwa remaja terbabit bagi kesalahan yang lebih berat dari seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan, mereka merayu agar tertuduh didakwa bagi kesalahan yang lebih berat itu.

“Kami sangat khuatir sekiranya pendakwaan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah esok – atau tarikh berikutnya – dan apabila siasatan lanjut ataupun inkues menemui keterangan yang boleh membuktikan berlakunya kesalahan di bawah seksyen 507D(2) Kanun Kesalahan atau kesalahan yang lebih berat, mereka tidak lagi boleh didakwa atas dasar double jeopardy yang termaktub di dalam Perkara 7(2) Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan hari ini.

Kenyataan itu ditandatangani enam peguam – iaitu Hamid Ismail, Shahlan Jufri, Rizwandean Borhan, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, dan Farrah Nasser.

Zara disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai.

Dia dimasukkan ke hospital selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha di Papar pada jam 4 pagi, 16 Julai.

Polis pada awalnya mengklasifikasikan kes itu sebagai “mati mengejut” dan tidak menjalankan bedah siasat selepas ibunya menandatangani surat kebenaran menolaknya, sesuatu yang kini dipersoalkan kerana didakwa melanggar protokol polis.

Sejak kejadian itu, beberapa himpunan telah diadakan menuntut keadilan untuk kematian Zara yang disyaki melibatkan unsur jenayah.

[Baca berita asal]



Source link