Sepuluh Ahli Dewan Negeri (Adun) Selangor hari ini mahu tindakan keras terhadap Wan Saiful Wan Jan dan beberapa ketua bahagian Bersatu yang mereka dakwa cuba mengalih perhatian daripada kegagalan gerakan menyingkirkan presiden parti, Muhyiddin Yassin.
Dalam satu kenyataan bersama, mereka menyifatkan kenyataan media ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu bersama beberapa ketua bahagian – Suhaimi Ghazali (Sepang), Isa Saidi (Ampang) dan Muhd Fadhli Ismail (Ipoh Timur) – sebagai “usaha terdesak” selepas komplot akuan berkanun (SD) 120 ketua bahagian tidak mendapat sambutan.
“Ibarat musuh dalam selimut yang sedang bersekongkol dengan musuh, kami mengecam keras fitnah jijik yang diulang terhadap Mohamed Azmin Ali sedangkan kes tersebut telah pun disiasat polis dan ditutup oleh peguam negara,” kata mereka.
Menurut mereka, serangan berterusan terhadap Azmin hanyalah helah untuk menutup masalah peribadi Wan Saiful sendiri yang kini berdepan pendakwaan di mahkamah atas pertuduhan menggelapkan jutaan ringgit.
“Pendakwaan ini membuktikan bahawa pihak berkuasa mempunyai asas kukuh dan beliau wajar menjawab pertuduhan tersebut di muka pengadilan, bukannya menyerang pihak lain dengan tuduhan tidak berasas,” tegas mereka.
Kesepuluh Adun itu turut menegaskan pendirian untuk berdiri teguh bersama kepimpinan presiden dan setiausaha agung parti.
Mereka mendesak lembaga disiplin mempercepatkan prosiding dan menjatuhkan hukuman paling keras terhadap Wan Saiful dan kumpulannya.
“Tindakan ini mestilah berbentuk pemecatan serta-merta demi menjaga disiplin, integriti dan maruah perjuangan.
“Ketegasan ini penting untuk memelihara keyakinan rakyat serta memastikan parti terus kekal utuh dan dihormati,” kata kenyataan itu lagi.
Mereka yang menandatangani kenyataan tersebut ialah Mohd Rafiq Abdullah (Kuang), Rosnizan Ahmad (Morib), Wan Dzahanurin Ahmad (Sungai Kandis), Dr Afif Bahardin (Taman Medan), Hilman Idham (Gombak Setia), Harrison Hassan (Jeram), Jamil Salleh (Dengkil), Noorazley Yahya (Bukit Melawati), Nurul Syazwani Noh (Permatang) dan Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani (Batang Kali).
Kenyataan itu hadir selepas sidang media Wan Saiful semalam yang menegaskan SD 120 ketua bahagian hanyalah menyokong pelan peralihan kuasa, bukannya menekan Muhyiddin untuk berundur.
Namun, penjelasan itu gagal meredakan tekanan apabila pimpinan Bersatu Johor, Negeri Sembilan, Terengganu serta Tasek Gelugor masing-masing menggesa tindakan disiplin segera, termasuk pemecatan Wan Saiful.






