Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan menerima laporan penuh siasatan SPRM berhubung kes melibatkan wang tunai yang dirampas dan dikaitkan dengan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob dan bekas setiausaha politiknya Anuar Mohd Yunus.
Dalam satu kenyataan hari ini, AGC berkata laporan itu, yang berkaitan dengan RM170 juta yang dirsita oleh SPRM pada 20 Feb 2025, diterima pada 12 Sept 2025.
“Tindakan pelucuthakan harta kepada kerajaan Malaysia tanpa pendakwaan terhadap wang tunai tersebut telah diambil oleh pihak SPRM, selaras dengan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” kata AGC.
Bagaimanapun, ia menegaskan bahawa prosiding pelucuthakan dan pendakwaan jenayah adalah dua proses yang berasingan.
“Walaupun tindakan pelucuthakan harta telah dimulakan oleh SPRM, jabatan ini akan meneliti secara menyeluruh laporan penuh siasatan tersebut.
“Proses penelitian laporan penuh siasatan tersebut akan dibuat daripada pelbagai sudut termasuk aspek keterangan serta elemen-elemen pembuktian kes sebelum sebarang keputusan berhubung pendakwaan jenayah dapat dibuat,” tambahnya.
Ismail Sabri dan Anuar pada awal bulan ini mengesahkan mereka tidak akan mencabar pelucuthakan itu. Susulan itu Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata wang itu telah didebitkan ke dalam dana kerajaan.
Pada Jun, SPRM berkata ia telah menyelesaikan siasatannya di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001, dan akan memohon untuk menyita wang itu.
Pengkritik telah menyuarakan kebimbangan bahawa tindakan Ismail Sabri untuk melepaskan tuntutannya ke atas wang yang dirampas oleh SPRM mungkin menyebabkan pertuduhan tidak difailkan.
Ini selepas pendakwa raya melepaskan pemimpin Bersatu Adam Radlan Ahmad Muhammad daripada pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram selepas dia membayar kompaun RM4.1 juta.
AGC seterusnya berkata, sebarang keputusan mengenai pendakwaan hanya akan diumumkan setelah semakan laporan siasatan selesai.
Ia juga menegaskan komitmennya untuk memastikan semua keputusan dibuat “secara bebas, telus, dan selaras dengan undang-undang.”