Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M Kulasegaran menggesa polis menyiasat dakwaan bekas suami M Indira Gandhi masih bebas di Malaysia walaupun waran tangkap terhadapnya telah dikeluarkan lebih sedekad lalu.
Menjawab pertanyaan Malaysiakini, Kulasegaran yang merupakan peguam utama untuk Indira ketika kes itu mula timbul pada 2009, berkata pendedahan terbaru mengenai Riduan Abdullah yang didakwa menggunakan bantuan kerajaan seperti Budi95 dan Bantuan Keperluan Asas Rahmah (Sara) “perlu segera disiasat” oleh polis.
Dia turut menggesa polis agar mengambil tindakan segera bagi menguatkuasakan semua perintah mahkamah yang masih berkuat kuasa terhadap Riduan, yang sebelum ini dikenali sebagai K Pathmanathan.
“Tiada ibu patut dipisahkan daripada anaknya,” kata Kulasegaran, merujuk kepada Riduan yang didakwa menculik anak bongsu mereka, Prasana Diksa, selepas menukar agamanya kepada Islam secara sepihak ketika bayi itu baru berusia 11 bulan.
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan semakan ke atas platform Sara dan Budi95 menggunakan nombor kad pengenalan yang dikaitkan dengan Riduan mendapati akaun tersebut telah menggunakan sepenuhnya bantuan tunai Sara berjumlah RM100 serta sebahagian daripada kuota subsidi petrol Budi95 sebanyak 300 liter.
Peguam Indira pada masa ini, Rajesh Nagarajan, mengecam pihak polis kerana gagal mematuhi “perintah mahkamah yang jelas dan mengikat” untuk mengesan Prasana serta menahan Riduan.
Rajesh turut mengkritik Jabatan Peguam Negara (AGC), dengan mendakwa “sikap berdiam diri dan pasif” AGC seperti membenarkan kegagalan polis dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, sekali gus memberi isyarat berhubung penguatkuasaan undang-undang secara terpilih.
Terdahulu hari ini, Pasukan Tindakan Indira Gandhi (Ingat) mengumumkan penganjuran “perarakan keadilan” bagi membantah tindakan pihak berkuasa yang dianggap tidak bertindak dalam mencari Prasana Diksa, yang dijangka diadakan pada 22 November dari kompleks beli-belah Sogo ke ibu pejabat polis Bukit Aman.






