Ekoran tiada sebarang perkembangan yang dianggap positif berhubung siasatan kematian tiga suspek penjenayah di Melaka baru-baru ini, peguam yang mewakili keluarga terbabit mendakwa dia kini berada dalam ketakutan.
Menurut Rajesh Nagarajan, dia kini berasa khuatir jika pulang pada waktu malam.
Katanya ketakutan itu berpunca daripada “kegagalan” pihak polis mengklasifikasikan insiden tersebut sebagai kes bunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan walaupun Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan siasatan dijalankan secara telus.
“Ini merupakan isu kepentingan awam yang menunjukkan jika tiga individu itu boleh dibunuh dengan sewenang-wenangnya, macam mana dengan kita, rakyat biasa ini.
“Saya pun takut. Malam-malam saya pergi tengok wayang dan balik rumah jam 12 tengah malam , (kalau) tiba-tiba kena tahan (dimana-mana, kemudian) kena tembak.
“Takut ke tak? Saya takut. Saya India,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan Bukit Aman di Kuala Lumpur hari ini.
Tambah Rajesh, sangat penting untuk polis menjalankan siasatan secara telus seperti yang dikehendaki perdana menteri.
[Laporan penuh menyusul]






