Malaysia Oversight

Kertas siasatan kes Zara Qairina diserah ke AGC minggu depan

By MkiniBM in August 2, 2025 – Reading time 2 minute
Kertas siasatan kes Zara Qairina diserah ke AGC minggu depan


Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan siasatan kematian Zara Qairina Mahathir, 13, sudah selesai dan kertas siasatan akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selewat-lewatnya minggu depan.

Dia berkata, seramai 60 saksi selesai dirakam keterangan oleh pihak polis bagi membantu siasatan kes kematian pelajar Tingkatan Satu Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan di Papar, Sabah, itu.

“Siasatan polis dah selesai, kita panggil hampir 60 saksi dan saya ingat paling lewat minggu depan polis akan serahkan kepada AGC untuk (tindakan) selanjutnya.

“Ingat ya, tugas polis tugas siasatan… panggil saksi bagi membantu menyiapkan siasatan… untuk ‘established’ perkara yang penting…. mayat ada tak, motif, ada senjata tak, itu semua skop siasatan polis.

“Jika sekiranya AGC berpuas hati atau sebaliknya (hasil siasatan), itu terpulang kepada pihak AGC,”, katanya dalam sidang media selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Maritim Malaysia di Kuantan, Pahang, hari ini.

Saifuddin berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini siasatan kematian Zara Qairina yang ditemui terbaring dalam keadaan parah di bawah bangunan asrama sekolahnya kira-kira jam 3 pagi, 16 Jul lalu.

Semalam, ibu kepada pelajar berkenaan, Noraidah Lamat, 45. dilaporkan berkata, dia mengarahkan dua peguam menguruskan proses bagi membolehkan kubur anaknya digali semula untuk tujuan bedah siasat.

Noraidah mahu persoalan yang berlegar di kepalanya berhubung punca sebenar kematian Zara Qairina sejak 14 hari lalu berakhir.

Dia berkata pengebumian jenazah anaknya pada malam 17 Jul lalu dilakukan tanpa proses bedah siasat kerana tidak ada pihak mencadangkan kepadanya untuk berbuat demikian.

Mengulas mengenai keputusan ibu Zara Qairina itu, Saifuddin berkata, ia adalah tindakan yang dibenarkan mengikut peruntukan undang-undang.

“Proses yang dilakukan bonda Zara Qairina ini adalah proses yang dibenarkan mengikut undang-undang dan seterusnya.

“Sehingga sekarang saya boleh sahkan siasatan (kes) ini sudah selesai,” katanya.

Terdahulu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Jauteh Dikun dilapor berkata, seramai 60 saksi berhubung kes kematian Zara Qairina termasuk tiga individu dengan nama ‘Kak Wana’, ‘Kak Dedeng’ dan ‘Tomboi’ iaitu antara nama disebut mempunyai kaitan dengan kes kematiannya sudah dirakam keterangan.

Zara Qairina ditemui pada kira-kira jam 3 pagi 16 Julai lalu, sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.

Bagaimanapun, pelajar itu meninggal dunia di hospital keesokan harinya dengan laporan awal mengatakan dia terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah.

Polis tidak menolak kemungkinan unsur buli dalam kes itu, namun menyerahkan kepada Bukit Aman untuk analisis menyeluruh.



Source link