Malaysia Oversight

Kertas siasatan kematian Zara Qairina ke AGC hari ini

By MkiniBM in August 4, 2025 – Reading time 2 minute
Kertas siasatan kematian Zara Qairina ke AGC hari ini


Polis akan menyerahkan kertas siasatan mereka mengenai kematian Zara Qairina Mahathir kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini, kata Ketua Polis Negara Mohd Khalid Ismail.

Perkembangan itu berlaku ketika keluarga Zara Qairina mendakwa pihak berkuasa tidak melakukan siasatan menyeluruh terhadap kes itu, termasuk tidak menjalankan bedah siasat untuk menentukan punca kematiannya.

“Kertas siasatan kes itu telah lengkap dan ia akan diserahkan kepada DPP (timbalan pendakwa raya) hari ini, insya-Allah,” kata Mohd Khalid kepada Malaysiakini.

AGC pula menyatakan mereka akan mengeluarkan kenyataan akhbar mengenai kes itu lewat hari ini.

Pada Sabtu, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan polis sudah menyelesaikan siasatan mereka terhadap kematian pelajar Tingkatan Satu SMK Agama Tun Datu Mustapha di Papar, Sabah itu.

Menurut Saifuddin, pihak berkuasa telah merekodkan keterangan daripada kira-kira 60 saksi.

Bagaimanapun, pasukan peguam yang mewakili keluarga Zara Qairina dilaporkan meragui polis benar-benar sudah melakukan apa yang perlu untuk menentukan punca yang membawa kepada kematian pelajar berusia 13 tahun ini.

Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu selepas ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang sekolahnya pada awal pagi sehari sebelum itu.

Mereka berkata polis gagal mengambil barang peribadi Zara Qairina dan pakaian yang dipakainya semasa kejadian sebagai bukti.

“Kami berpendapat bahawa kertas siasatan yang dikemukakan polis kepada AGC adalah tidak lengkap, tidak teliti, dan mempunyai fokus yang sangat kecil.

“Tambahan pula, tiada bedah siasat dijalankan ke atas mayat Zara sebelum dikebumikan,” kata peguam Ismail Hamid dan Shahlan Jufri yang dipetik Sinar Harian.

Sebelum ini, ibu pelajar terbabit, Noraidah Lamat, dilaporkan melantik dua peguam untuk memulakan proses penggalian kubur anak perempuannya untuk bedah siasat.

[Baca berita penuh]



Source link